Pengerusi BN Perak yang juga calon Barisan Nasional (BN) N. 04 Kota Tampan, Datuk Seri Saarani berucap semasa hadir pada Himpunan Solidariti Barisan Nasional Perak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Bilik Gerakan DUN N44, Sungai Rapat, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 10 NOVEMBER 2022.

GOPENG – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mahu rakyat di negeri ini terutamanya penduduk Tambun menolak kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan ‘orang luar’ yang masuk bertanding di sini.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak menegaskan, kehadiran Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai sebarang peranan dalam merencanakan masa depan negeri ini.

“Pelabur sedang menunggu masa untuk masuk melabur di Perak, tunggu habis PRU ini sahaja. Orang Perak sedang berbincang untuk membangunkan negeri ini.

Pelan Perak Sejahtera 2030 kita (BN Perak) juga sudah ditawarkan kepada orang Perak.Kita hendak Perak kembali menjadi sebuah negeri yang aman, makmur, stabil.

“Tak payah, tak payah, tak payahlah Anwar Ibrahim mari ke Perak. Sebab orang Perak sendiri mampu bangunkan negeri kita, tidak perlu orang luar. Tak payah, tak payah, tak payah.

“Saya minta semua yang ada di sini telefon dan maklumkan kepada keluarga, kawan-kawan dan kenalan untuk menolak Anwar, tolong tunjuk jalan keluar kepadanya beramai-ramai. Orang Perak tidak perlukan Anwar,” katanya di ikuti sorakan lebih 500 penyokong dan pengundi sekitar Gopeng petang tadi.

Beliau mendakwa, Anwar dan PH hanya mengaburkan warga Tambun dengan menggunakan ceramah-ceramah mega dengan kehadiran penyokong yang ramai.

“Walaupun Anwar dan PH buat program-program mega, saya cam muka-muka yang hadir itu muka sama juga. Anwar buat program di Hulu Kinta, muka sama kadang-kadang tukar sahaja. Sebahagian mereka juga bukanlah pengundi Tambun.

“Semua program yang dibuat semua muka sama, tapi pengundi bukan dari sana. Hanya sekadar untuk ramaikan majlis mega itu. Isyarat jelas kepada Anwar, tiba masa untuk rakyat Perak untuk tunjuk jalan keluar kepada Anwar.

“Tunjuk jalan keluar kepada Anwar. Ini bukan masa dia berpolitik lagi. Lama sudah sejak 1998 sehinggalah sekarang, asyik-asyik Anwar. 24 tahun orang masih berbincang tentang Anwar, ‘no no no’.

“Sekarang kita bincang tentang muka-muka baharu yang bangunkan negeri dan negara kita,” tegasnya. -MalaysiaGazette