KUALA LUMPUR – Semua agensi termasuk Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat diarah supaya memberi perhatian sepenuhnya kepada usaha membantu Keluarga Malaysia yang ditimpa musibah banjir.

Arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri dalam hantaran di laman Facebook berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera dan Angkatan Pertahanan Awam turut diarah ke lokasi terjejas banjir bagi memindahkan mangsa.

“Saya menerima laporan beberapa kawasan di Selangor dinaiki air sejak semalam… Pastikan operasi menyelamat mangsa berjalan dengan lancar, stok makanan dan pengangkutan telah bersedia sepenuhnya,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan bencana yang berlaku selain mematuhi setiap arahan agensi keselamatan selain peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia bagi membuat persediaan awal.

“Sama-sama kita berdoa agar bencana alam ini segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat,” katanya.

Setakat 9 malam ini, tiga pusat pemindahan sementara dibuka di Selangor termasuk di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Klang yang menempatkan 147 mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast