Seorang petugas kesihatan melakukan proses ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette. Gambar hiasan

BEIJING- China mengumumkan beberapa kelonggaran berkaitan langkah membendung Covid-19 hari ini.

Notis daripada agensi kawalan penyakit berkata, antara langkah yang diambil adalah mengurangkan tempoh kuarantin pengunjung dari luar negara kepada lapan hari berbanding 10 hari sebelumnya.

Tempoh itu merangkumi lima hari kuarantin di pusat isolasi ditetapkan manakala baki tiga hari lagi adalah kawalan kendiri di rumah.

Selain itu, pengembara hanya perlu menunjukkan satu keputusan negatif saringan Covid-19 dalam tempoh 48 jam sebelum menaiki penerbangan ke China.

Peraturan sebelum ini menetapkan dua kali ujian saringan perlu dilakukan sebelum penerbangan.

Selain itu, China juga memansuhkan syarat mengenal pasti dan mengasingkan kontak rapat kedua iaitu individu yang mungkin mempunyai kontak dengan individu yang menjadi kontak rapat pesakit.

Sistem domestik risiko virus pula dikurangkan kepada peringkat kedua berbanding peringkat ketiga sebelum ini.

Kawasan yang dilabelkan sebagai berisiko tinggi akan dikepung manakala yang berisiko rendah dikenakan sekatan minimum.

Orang ramai yang bergerak dari kawasan berisiko tinggi ke kawasan berisiko rendah diwajibkan menjalani kuarantin rumah selama tujuh hari.

 

-Agensi