Karim Deraman

PARIT SULONG – Calon Perikatan Nasional (PN) Parit Sulong, Dr Karim Deraman berpendapat, keputusan pimpinan parti memilih beliau melawan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad kerana mereka berdua memiliki gelaran doktor.

“Nak lawan Datuk N (Noraini) ni dia ada doktor situ. Jadi, kena bawa doktor jugalah baru seimbang, baru lawan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas bertemu orang ramai di pekan Parit Sulong di sini, hari ini.

Katanya, meskipun bukan anak jati Parit Sulong namun Karim berharap pengundi di kawasan itu melihat kemampuan beliau untuk memimpin apabila diberi mandat kelak.

Tambahnya, beliau mempunyai kelebihan itu kerana mampu menumpukan sepenuh perhatian kepada isu-isu masyarakat setempat kerana telah berpencen.

Karim berkata, beliau mampu mengurus dan membangunkan Parit Sulong dengan lebih baik.

Pemilik ijazah doktor falsafah (PhD) Fizik Semikonduktor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menjelaskan, beliau mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai program termasuk ketika berkhidmat di universiti.

Ditanya sama ada, kempennya berdepan dengan masalah susulan dakwaan parti-parti lawan apabila sering mengaitkan PN sebagai parti yang ramai pemimpinnya “lompat parti”, Karim memberitahu, dia tidak menghadapi situasi seperti itu.

Ujarnya, pengundi-pengundi Parit Sulong faham keadaan yang berlaku.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor itu berpandangan tindakan lompat parti adalah suatu perkara yang positif kerana mereka berhijrah ke arah kebaikan.

“Mereka lompat daripada benda yang tidak elok kepada yang elok.

“Kita tidak boleh halang mereka lompat parti kerana mereka berhijrah kepada yang lebih baik, maka baguslah.

“Jadi apabila mereka masuk dalam kumpulan kita, sekurang-kurangnya kita boleh bantu mereka buat perkara baik.

“Lama-lama semua orang akan ikut. Takdelah hendak rompak-rompak,” tambahnya.

Sementara itu, Karim berkata, beliau berhasrat mahu menumpukan kepada pembangunan pendidikan memandangkan beliau sendiri berlatar belakangkan seorang pendidik.

“Pengalaman saya buat kursus di Pekan Nenas, saya panggil ibu-ibu tunggal, saya panggil mereka buat kek.

‘Kita bagi kursus itu supaya sekurang-kurangnya mereka boleh buat untuk makan sendiri dan ada juga yang menjualnya.

“Yang remaja pula untuk permulaan, kita tengok peluang-peluang yang ada, banyak peluang sebenarnya,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast