Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas Perhimpunan Setia Berjasa Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 11 November 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan siasatan terhadap harta yang diisytiharkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya akan mengambil tindakan sekiranya perlu.

“Biarlah satu (agensi) dahulu (buka kertas siasatan). Bila diperlukan baru kita ambil tindakan.

“Kalau sudah banyak sangat masuk (buat siasatan), nanti jadi rojak,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Setia Berjasa Jabatan Imigresen Malaysia di KDN, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Hamzah berkata demikan ketika diminta mengulas mengenai kenyataan SPRM yang telah membuka kertas siasatan terhadap perisytiharan harta yang dilakukan Rafizi baru-baru ini.

Ini susulan laporan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung pengisytiharan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu.

Pada 2 November lalu media melaporkan Rafizi menjadi individu pertama mengisytiharkan harta dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada PRU15 untuk berbuat demikian.

Kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam syarikat tinjauan awam yang diasaskannya, Invoke; pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insurans. – MalaysiaGazette