Muhammad Rafique Rashid

SHAH ALAM – Calon Parti Pejuang bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Muhammad Rafique Rashid Ali tidak ada masalah untuk mengisytiharkan harta sebagaimana dilakukan beberapa calon dari Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini beliau belum berbuat demikian, tetapi rakyat boleh tahu berapa jumlah harta miliknya bersama isteri.

“Secara peribadi saya belum isytihar harta saya. Tapi boleh dituliskan, tak ada masalah.

“Saya mempunyai sebuah pejabat di Plaza Azalea di Seksyen 14, Shah Alam yang saya beli dengan harga RM259,000 secara pinjaman dan belum habis lagi bayaran bulanannya.

“Saya ada sebuah apartment kondominium di Ara Damansara iaitu rumah pertama saya dan isteri berharga RM140,000. Juga masih bayar RM1,100 sebulan,” katanya ketika ditemui pada program walkabout di Taman Berkeley, dekat sini, hari ini.

Muhammad Rafique yang bekerja sebagai peguam berkata, beliau juga mempunyai sebuah rumah di Setia Alam, yang dibayar RM3,300 sebulan.

Katanya, beliau mempunyai dua kenderaan iaitu atas nama isteri dan satu lagi sudah habis dibayar.

“Selain itu, saya menjalankan perniagaan sebagai peguam. Saya tidak ada beban tanggung hutang lain. Saya tidak ada saham dalam mana-mana syarikat.

“Sumber pendapatan saya seratus peratus daripada amalan peguam. Isteri saya mempunyai perniagaan sendiri dan itulah kehidupan kami,” katanya. – MalaysiaGazette