Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengundi-pengundi muda mengakui sudah bosan, muak dan letih  melihat segelintir pemimpin dan calon Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) menyebarkan fitnah, mencerca dan melemparkan kata-kata kesat ketika berkempen.

Menurut mereka tindak-tanduk mereka ini menonjolkan sikap tidak matang, sekali gus tidak layak diundi sebagai pemimpin negara.

Kepada MalaysiaGazette, mereka meluahkan rasa kesal dan simpati kepada pemimpin-pemimpin yang masih menjaja perkara-perkara negatif sepanjang kempen pilihan raya, sedangkan golongan muda mahu Malaysia ditadbir sebuah kerajaan yang kukuh serta mampi menjaga keharmonian.

Muhammad Zharfan Jahaya

Seorang pemuda, Muhammad Zafran Jahaya, 22, mengakui dia sudah bosan apabila mendengar kempen-kempen yang berbaur fitnah dan saling mengata parti atau pemimpin lain.

“Bagi saya bosanlah sebab daripada dulu (PRU14) sehingga sekarang kita asyik dengar benda yang sama, fitnah pihak sana, fitnah pihak sini.

“Sebagai orang muda, benda fitnah itu kita tak nak dengar. Apa yang kita mahu adalah fakta dan bukan cakap kosong,” katanya pada pemberita.

Siti Nur Fatimah

Sementara itu, bagi Siti NurFatimah Abdul Rahem,19, yang baru pertama kali ingin mengundi pada pilihan raya ini turut tidak berminat untuk mendengar kempen-kempen bersifat menjaja keburukan pihak lain.

Katanya, pada tahun 2022 sudah tidak sesuai lagi menggunakan kempen-kempen bersifat negatif.

“Setakat ini saya lihat kempen parti macam Barisan Nasional (BN) steady sahaja tanpa ambil tahu pasal parti lain.

“Kalau boleh parti pihak lawan pun buat benda yang samalah tak perlu nak fitnah kot. Sudah basi sangat apa yang diperkatakan mereka.

“Sebagai orang muda kita nak hidup masyarakat semakin aman tanpa ada permusuhan atau perpecahan,” ujarnya.

Asrie Azman

Bagi Asri Azman, 22, berkata, perbuatan memfitnah dan mengata parti lain ketika berkempen perlu dielakkan kerana ia mencerminkan akhlak dan peribadi parti itu sendiri.

“Saya lihat situasi memfitnah, memburukkan orang lain dan buka aib ini satu perbuatan yang tidak matang, tidak profesional serta memalukan untuk ditunjukkan kepada kami. kami.

“Tindakan mereka itu akan memberi satu cerminan yang buruk buat seseorang atau parti itu sendiri. Kalau boleh berilah contoh yang baik kepada anak muda,” katanya.

Asri menambah, sepatutnya parti-parti dan pemimpin politik tunjukkan kepimpinan mereka, tanggungjawab untuk menggalas tugas kepada rakyat.

“Bukannya mengata orang ini, memfitnah pesaing. Kami tidak berminat,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette