Barisan pemain Petaling Jaya City FC. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 OKTOBER 2022.

PETALING JAYA – Tanda tanya sejak beberapa minggu lepas mengenai status Petaling Jaya (PJ) City, hari ini akhirnya terjawab apabila kelab bola sepak itu mengumumkan menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan.

Presiden kelab, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, keputusan itu dibuat bukan atas sebab kewangan, tetapi matlamat kelab itu yang dilihat tidak bersesuaian dengan hala tuju penstrukturan Liga Malaysia (Liga-M) pada 2023.

Beliau berkata, ia terutamanya disebabkan peningkatan kuota pemain import daripada lima kepada sembilan orang, memandangkan PJ City satu-satunya pasukan dalam Liga-M yang menurunkan 100 peratus pemain tempatan sejak musim 2021.

Subahan berkata, pemilik kelab itu, QI Group mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat mengambil alih hak dan lesen pasukan itu untuk bertanding dalam Liga Super 2023.

“Kita nak tegaskan bahawa keputusan ini bukan sebab masalah kewangan, tetapi kerana senario bola sepak, yang akan lebih rumit dengan penstrukturan Liga-M bermula musim depan terutamanya peningkatan kuota pemain import.

“Kami menghormati keputusan diambil MFL (Liga Bolasepak Malaysia), yang lebih arif sebagai pemimpin boleh sepak negara. Ini bukan bermakna kami meninggalkan terus bola sepak, kami tetap akan membuat langkah pembangunan, mencari bakat baharu, melatih pemain dan menyalurkan mereka ke pasukan kebangsaan dan kelab,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Subahan berkata, keputusan mengenai peranan Kumpulan QI dalam bola sepak selepas meninggalkan Liga Super akan dibuat selepas mesyuarat lembaga pengarah dalam masa terdekat.

Beliau juga mengakui mengendalikan kelab bola sepak di Malaysia bukan satu perniagaan yang menguntungkan, kerana sesebuah pasukan itu biasanya didukung oleh kerajaan negeri bagi menggembirakan pemain mereka dan demi kepentingan politik.

Sementara itu, beliau berkata, kira-kira RM2.5 juta telah dilaburkan untuk menambah baik venue pasukan itu, iaitu Stadium MBPJ dengan padang baharu, trek larian sintetik dan bilik persalinan.

Sekiranya tiada pihak yang bersedia untuk mengambil alih PJ City, Liga Super 2023 yang sepatutnya mengandungi 18 pasukan, mungkin hanya akan ditandingi 15 pasukan selepas Melaka United dan Sarawak United gagal mendapatkan lesen MFL berikutan isu kewangan.

Selepas penstrukturan semula, MFL akan membenarkan pasukan dalam Liga Super mendaftarkan sembilan pemain asing, tetapi mereka perlu mematuhi ketetapan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menggunakan hanya enam pemain.

Bagaimanapun, MFL akan membenarkan hanya lima pemain import diturunkan, iaitu tiga campur seorang pemain Asia dan seorang pemain ASEAN, pada satu-satu masa manakala hanya seorang pemain import boleh berada di bangku simpanan.

Sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) ketika bersaing dalam Liga FAM (peringkat ketiga) dan Liga Perdana, PJ City membuat penampilan sulung Liga Super pada 2019 dan bersaing dengan diperkuat 100 peratus pemain tempatan sejak dua musim lepas.

Walaupun tidak menurunkan pemain asing sebagaimana pesaing mereka yang menggunakan kuota maksimum, skuad Phoenix itu mampu memberi saingan yang baik dalam 12 pasukan Liga Super dengan menduduki tempat kelapan pada 2019, seterusnya tempat ketujuh pada 2020 dan 2021, sebelum menamatkan saingan pada musim ini di kedudukan kesembilan. – Bernama