Datuuk Seri Hazani Ghazali . Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mencetuskan kekecohan di bilik mesyuarat pusat daerah mengundi (PDM) cawangan UMNO Bachang Baru, Batu Berendam, Melaka, 11 malam semalan.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, lelaki berkenaan kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan.

“Semasa kejadian, pengadu bersama ahli UMNO sedang bermesyuarat mengenai pergerakan jentera kempen dalam keadaan baik.

“Tiba-tiba seorang lelaki telah menyerbu ke dalam bilik mesyuarat itu dalam keadaan marah sebelum membuat kecoh, membalikkan meja, kerusi serta mengoyakkan bunting,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hazani, lelaki berkenaan turut menolak pengadu ke arah dinding dan mengancam untuk memukulnya sebelum berjaya diberkas polis.

Dalam pada itu, Hazani memaklumkan, Polis Diraja Malaysia telah membuka 25 kertas siasatan membabitkan kesalahan semasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

Katanya, empat kertas siasatan dibuka di negeri Kedah dan Selangor manakala tiga kertas siasatan dibuka masing-masing di Pulau Pinang dan Sarawak.

Dua kertas siasatan dibuka masing-masing di Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Johor, manakala satu kertas siasatan dibuka di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, semalam, 994 permit ceramah politik di 14 kontinjen negeri seluruh negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast