Datuk Seri Hazani Ghazali . Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merancang mengadakan program walkabout permu memohon permit daripada polis.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, permit hanya perlu dipohon sekali untuk keseluruhan tempoh berkempen dalam kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) calon.

“Jika sesebuah kawasan yang ditandingi itu melibatkan dua atau lebih daerah polis, maka permohonan perlu dikemukakan oleh calon di salah satu Ibu Pejabat Polis Daerah yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, keperluan memohon permit itu ditetapkan di bawah Subseksyen 24B(3) Akta 5 (kempen pilihan raya dan batasan mengenainya) Akta kesalahan Pilihan Raya 1954.

Bagaimanapun menurut Hazani, calon perlu mengemukakan permohonan permit setiap kali mengadakan aktiviti perjumpaan dan perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka, hiburan awam terbuka dan memberikan ucapan awam atau syarahan terbuka semasa pilihan raya.

Tambah beliau, keperluan permohonan permit adalah bagi membolehkan PDRM memastikan calon-calon dapat menjalankan aktiviti kempen mereka dengan lancar.

“Pada masa sama, calon yang bertanding pada PRU 15 kali ini hendaklah mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan pertembungan sesama calon dielakkan dan agar tiada sebarang unsur provokasi lisan atau secara fizikal timbul semasa program ‘walkabout’ dijalankan,” ujarnya. – MalaysiaGazette