Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir melanda negeri itu minggu ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri telah menyusun pasukan petugas di daerah yang mudah dinaiki air untuk bergerak pantas dalam kerja menyelamat dan memindahkan mangsa.

Katanya, langkah itu dilakukan lebih awal berikutan banjir kilat melanda beberapa kawasan di Shah Alam pada Selalu lalu dan semalam.

“Langkah ini juga kita lakukan berikutan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan hujan lebat dan banjir berlaku pada minggu kedua bulan ini.

“Sekarang kita sudah memasuki fasa yang diramalkan MetMalaysia dan langkah tertentu telah diambil termasuk sudah mengenal pasti sekolah untuk dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya di sini, malam tadi.

Berikutan hujan lebat kira-kira jam 3 petang semalam, beberapa lagi kawasan di sekitar Shah Alam dan Klang dinaiki air dan Amirudi turut turun meninjau beberapa keluarga yang dipindahkan.

PPS yang dilawatinya malam tadi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, Klang; PPS SK Sungai Binjai Meru, Klang; dan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Budiman, Petaling.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor melaporkan, dianggarkan sebanyak 20 rumah terjejas berikutan banjir kilat di Kampung Budiman, Puncak Alam berikutan hujan lebat.

Pengarahnya, Norazam Khamis dilaporkan berkata, banjir kilat itu susulan hujan lebat dan berlaku limpahan air dari longkang besar berhampiran menyebabkan air naik sekitar satu meter.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, banjir di beberapa daerah di negeri itu sejak Selalu lalu disebabkan kadar hujan yang tinggi daripada biasa iaitu melebihi 104mm, bukan masalah perparitan.

“Bagaimanapun, saya telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan longkang sentiasa bersih setiap masa terutama di kawasan perumahan yang berisiko banjir,” katanya. – MalaysiaGazette