Wee Ka Siong bercakap pada sidang media berhubung gangguan operasi LRT di Subang hari ini.

SUBANG – Keputusan sama ada kesemua tren LRT Laluan Kelana Jaya boleh beroperasi semula dengan selamat atau sebaliknya akan dibuat selepas ujian penuh dijalankan sepanjang hari esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, hasil ujian akan dinilai oleh pasukan pakar daripada pihak pengilang yang datang dari luar negara seterusnya diaudit oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang bertanggungjawab memeriksa aspek keselamatan.

“Tren akan diuji sepanjang hari tanpa penumpang. Kemudian pada waktu yang sama MOT melalui agensinya (APAD) dengan pasukan khas melakukan pemeriksaan keselamatan penggunaan tren LRT berdasarkan pengisytiharan pihak pakar.

“Kalau pakar mengatakan ia selamat dan stabil untuk digunakan tanpa syak wasangka, maka perkhidmatan akan kembali  beroperasi,” katanya ketika sidang media selepas sesi taklimat perkembangan semasa penambahbaikan LRT Laluan Kelana Jaya.

Terdahulu katanya, ujian terhadap sistem kawalan tren beberapa hari ini menunjukkan perkembangan positif.

Menurut beliau, sekiranya semua tren LRT laluan berkenaan disahkan stabil dan selamat untuk kembali beroperai, pihak Prasana bakal membuat pengumuman pada pukul 6 petang bagi memudahkan pengguna mendapatkan informasi awal dan membuat persediaan.

Mengulas lanjut Ka Siong berkata, gangguan kegagalan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang berlaku baru-baru ini melibatkan masalah pusat kawalan kenderaan dan signal (isyarat).

Jelas beliau, lebih membimbangkan jika tren dibiarkan bergerak tanpa isyarat pada skrin di pusat kawalan boleh mengakibatkan kemalangan.

Justeru itu katanya Prasarana membuat keputusan menghentikan sementara perkhidmatan meskipun ia disifatkan oleh segelintir pihak sebagai tindakan yang tidak popular.

“Kita terpaksa menghentikan operasi kerana tidak nampak kedudukan di mana lokasi semasa tren LRT pada Pusat Kawalan Kenderaan (VCC). Justeru, pemeriksaan rapi perlu dibuat.

Keadaan ini mengundang risiko kemalangan apabila ia hilang daripada radar pemerhatian VCC. Ini keputusan yang besar terpaksa diambil kerana melibatkan nyawa,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama beliau berkata, pihak Prasarana telah melantik pihak perunding khas berkenaan tindakan selanjutnya sekiranya wujud elemen sabotaj yang mengakibatkan gangguan berlaku.

“Pihak perunding ini akan melihat semua aspek termasuk elemen sabotaj jika ada, sementara kita selesaikan masalah yang ada  (tambah baik sistem tren). Tapi setakat ini hanya ada dua masalah yang dikenal pasti,”kata Wee lagi.

Menteri Pengangkutan itu memaklumkan,  Prasarana telah bersetuju untuk memberikan pampasan kepada pengguna LRT kepada penumpang yang terjejas sepanjang penggantungan sementara operasi LRT Kelana Jaya.

“Bagi yang menggunakan pas, Prasarana bersetuju lanjutkan tempoh kad sebab rugilah bagi yang tidak guna selama seminggukan. Bagi pengguna lain (kad harian) Prasarana akan umum lebih lanjut kemudian,” tambah beliau.

Rapid KL baru-baru ini menggantung operasi perkhidmatan LRT di 16 stesen bermula Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park sehingga 15 November ini berikutan masalah sistem ATC.

Penggantungan sementara itu dibuat selama tujuh hari bermula 9 November yang lalu.-MalaysiaGazette