SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) meletakkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya enam kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain tiga kerusi Parlimen sedia ada iaitu Rembau, Jempol dan Jelebu, mereka juga mahu menawan semula Tampin dan Kuala Pilah.
“Saya fikir itu tidak mustahil. Tapi kini, kami juga mahu menawan kerusi Parlimen Port Dickson.
“Jika kami berusaha lebih dan bekerja lebih keras, insya-Allah Port Dickson dalam tangan kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan pembeli-pembeli Residensi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Bandar Ekar, Rantau di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, Mohamad mendengar keluhan daripada para pembeli berhubung masalah yang dihadapi mereka apabila kediaman mereka yang sepatutnya siap pada 2019 belum dapat dihuni sehingga kini.
Beliau yang mengaturkan majlis perjumpaan itu turut mendengar taklimat ringkas daripada kontaktor penyelamat projek tersebut, Zikay Construction.
Mohamad yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Rembau menambah, projek tersebut mula terbengkalai selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pada 2018.
Beliau mendakwa, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), semua inisiatif yang mempunyai perkataan 1Malaysia termasuk PR1MA diberhentikan oleh kerajaan PH.
“Agaknya mereka mungkin tak mahu legasi kerajaan BN disambung.
“Tetapi mereka tak mengambil kira dengan berbuat begitu ia mengakibatkan pembeli terseksa kerana dalam keadaan harga barang naik kos sara hidup tinggi,” jelasnya.
Mohamad berkata, projek tersebut disambung semula setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk namun kemajuannya tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Beliau juga prihatin tentang keresahan para pembeli yang dalam keadaan tertekan apabila terpaksa membayar pinjaman dan sewa rumah pada masa yang sama.
“Sebab itu saya panggil mereka supaya pembeli-pembeli dan pemaju melihat sendiri, mendengar sendiri kemajuan projek,” katanya sambil menjelaskan bahawa projek tersebut mempunyai baki 11 peratus lagi untuk disiapkan.
Mohamad turut meminta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk mengkaji semula potongan 100 peratus yang dikenakan terhadap penjawat awam yang membeli unit kediaman Residensi PR1MA Bandar Ekar.
Beliau berpandangan, LPPSA sepatutnya mengenakan potongan gaji mengikut kemajuan projek dan bukannya tempoh pembiayaan memandangkan projek tersebut belum disiapkan. – MalaysiaGazette