Taman Sentul dalam daerah Seberang Perai Tengah masih ditenggelami air.

SEBERANG PERAI – Penduduk di beberapa taman perumahan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menyifatkan banjir yang melanda kawasan mereka semalam, sesuatu yang mengejutkan.

Lo Chew Keong, 53, dari Taman Perumahan Sentul, Juru berkata, ia susulan sudah lima tahun kawasan tersebut tidak banjir sekali gus menyebabkan penduduk tidak membuat sebarang persediaan.

Lo Chew Keong.

“Banjir terburuk melanda kawasan ini lima tahun lalu dan kami tak sangka hujan lebat dalam tempoh dua jam semalam menyebabkan kawasan ini dinaiki air.

“Air naik begitu cepat sampai paras lutut kami lima sekeluarga segera mengangkat perkakasan rumah untuk ditempatkan di kawasan lebih tinggi kerana bimbang paras air naik.

“Lima tahun lepas habis semua perkakasan rumah rosak dan saya menanggung kerugian yang banyak. Jadi kali ini bila air naik kami cepat-cepat naikan barang ke tempat tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Ahmad Ridzuan Abdullah.

Bagi, Ahmad Ridzuan Abdullah, 32, yang menetap di kawasan Taman Sentul Jaya pula, dia menyifatkan kejadian banjir itu di luar jangkaan susulan air melimpah masuk rumahnya.

“Selalunya kalau banjir air tak masuk rumah tapi semalam pelik hujan lebat dalam tempoh singkat air sudah naik hingga melimpah masuk dalam rumah.

“Tiada apa dalam fikiran saya selain selamatkan anak perempuan berusia lima tahun yang menghidap sakit jantung, selepas hantar dia dan isteri ke rumah saudara baru saya tengok keadaan rumah.

“Saya tak sempat selamatkan apa pun dan sehingga pagi ini rumah yang didiami kami tiga beranak masih ditenggelami air banjir,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina True Light di sini.

K.Kithanjali.

Menurut K.Kithanjali, 17, ketika kejadian dia berada seorang diri di rumah manakala ibunya belum pulang dari tempat kerja.

“Memang sangat takut keadaan semalam apabila air tiba-tiba naik mendadak tambahan pula saya seorang diri.

“Saya hanya menyelamatkan buku, peralatan sekolah serta anjing peliharaan manakala perkakasan rumah sudah mula terapung.

“Lebih buruk, apabila saya dan ibu terpaksa bermalam dalam kereta kerana tidak boleh ke PPS disebabkan mempunyai anjing peliharaan,” katanya.

Muhammad Nabihah Nadir Nasharudin.

Turut kongsikan pengalaman sama, Muhammad Nabihah Nadir Nasharudin, 22, berkata, dia yang baru pulang dari tempat kerja terkejut melihat rumah ditenggelami air.

“Saya hanya sempat selamatkan motosikal saja yang lain-lain tak boleh nak buat apa sebab air dah masuk rumah.

“Kalau sebelum ini memang kami sentiasa buat persediaan banjir tapi sudah lima tahun tak banjir membuat kami terkedu tanpa sebarang persiapan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast