Ahmad Dzaffir Mohd.Yussof.
Ahmad Dzaffir Mohd Yussof

SEREMBAN – Dua lelaki ditahan polis kerana disyaki mengugut dan melakukan kekasaran terhadap sekumpulan wartawan daripada MalaysiaGazette yang sedang membuat liputan untuk calon sebuah parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di sini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang semalam itu, dua lelaki yang dipercayai dalam keadaan mabuk di sebuah restoran di Seremban Jaya, di sini, mengugut mereka agar tidak membuat liputan di lokasi kejadian.

Menurut beliau, salah seorang daripada wartawan terbabit telah ditolak, dibaling gelas, botol arak dan kasut.

Video Berkaitan

“Bertindak atas laporan yang diterima pada 11 November 2022, lebih kurang pukul 11.50 malam, tangkapan telah dibuat oleh polis ke atas kedua-dua suspek yang berada di Taman Seremban Selatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, suspek-suspek boleh dihukum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Dzaffir berkata, polis menyeru masyarakat agar memberi kerjasama kepada wakil-wakil parti yang berkempen serta media yang membuat liputan bagi memastikan suasana PRU-15 berjalan lancar dan dalam keadaan harmoni.

Beliau menambah, tindakan tegas dan tanpa kompromi akan diambil ke atas mereka yang sengaja mengganggu keamanan dan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette