Nur Jazlan Mohamed ketika melakukan walkabout di Jalan Tan Hiok Nee hari ini.

JOHOR BAHRU – Pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan. Itu yang diharapkan masyarakat Cina di Johor terutamanya di Parlimen Pulai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir.

Disebabkan itu, kebanyakan masyarakat Cina yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, mereka mengharapkan calon BN Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed memenangi PRU15.

Ini kerana BN sudah mempunyai rekod cemerlang dan terbukti dalam membangunkan ekonomi serta mencipta peluang pekerjaan di Johor khususnya dan Malaysia amnya.

Ahli Perniagaan, Tan Hiang Kee, 39, berkata masyarakat Cina di Pulai akan memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) kerana yakin terhadap rekod parti itu menguruskan negeri dan negara.

Tambahan pula, calon BN bagi Parlimen Pulai kali ini adalah seorang bekas ahli korporat terkemuka, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Tan Hiang Kee

“Sebagai peniaga, sudah pasti saya mahu seorang pemimpin yang boleh meningkatkan ekonomi serta membawa pelaburan termasuklah dari luar negara masuk ke Pulai.

“Bagi orang Cina, kriteria ini adalah mustahak,

“Sebagai pengundi pula saya akan pilih seorang yang betul-betul boleh berkhidmat . Jangan lepas menang dia hilang dari tempat ini dan muncul semula apabila musim pilihan raya menjelma,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Pada PRU14, Nur Jazlan ditewaskan calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Salahuddin Ayub dengan majoriti lebih 28,000 undi.

Wong Fong Yee

Dalam pada itu, petugas badan bukan kerajaan (NGO), Wong Foong Yee,46, berharap Nur Jazlan menggunakan kepakaran dan pengalamannya dalam dunia perniagaan untuk merancakkan lagi ekonomi Pulai.

Katanya, masyarakat Cina percaya kestabilan ekonomi menyumbang kepada kesejahteraan diri dan keluarga.

“Saya mewakili masyarakat Cina ssudah sememangnya kita mahu sebuah negeri dan kawasan yang lebih maju.

“Ini kerana apabila ekonomi diri stabil barulah keluarga dan masyarakat sejahtera dapat diwujudkan.

“Jadi saya rasa perlunya pemimpin seperti Nur Jazlan untuk memberikan tumpuan kepada apa yang kami masayarakat Cina mahukan. Ini harapan kami kepada beliau,” katanya.

Tambah Foong Yee, dia percaya Nur Jazlan mempunyai kumpulan sokongan yang sangat kuat.

Malah beliau juga sentiasa bersedia membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Boon Hwa Ching

Sementara itu, pengusaha restoran, Boon Hwa Ching yang mengenali Nur Jazlan lebih 10 tahun menyifatkan calon BN Pulai itu sememangnya perlu diberi peluang untuk menang pada PRU15 ini.

Katanya, dia percaya Nur Jazlan mampu membawa banyak kemajuan terutama kepada generasi muda Cina di Parlimen berkenaan.

Ini termasuklah pembangunan sukan dan peluang pekerjaan yabg lebih luas kepada belia Cina.

“Nur Jazlan orang dia sangat pentingkan kekeluargaan.Saya kenal sudah lama.

“Cuma saya harap jika beliau menang, Nur Jazlan memberi tunpuan kepada membuka peluang pekerjaan khususnya kepada anak-anak muda berbangsa Cina.

“Tetapi apa yang jangan lari lepas dipilih.Turun semula apabila mahu bertanding,” katanya.

Nur Jazlan sekali lagi akan berdepan dengan Salahuddin dalam persaingan tiga penjuru pada PRU15 ini.

Beliau turut dicabar calon Perikatan Nasional, Loh Kah Yong.

Pulai merupakan kerusi Parlimen yang mempunyai pengundi bercampur dengan 45 peratus adalah Melayu, Cina (40 peratus), India (12 peratus) dan lain-lain (tiga peratus).-MalaysiaGazette