Datuk Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin bahawa parti itu sudah rosak, mengejutkan ramai pihak.

Kenyataan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh itu turut mendapat reaksi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Dalam kenyataan balasnya kepada Khairy Jamaluddin hari ini, Zaid berkata, kalau iya pun marah dan dendam pada individu tertentu dalam parti, tunggulah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

“Saya memang terkejut baca kenyataan KJ (Khairy Jamaluddin). Dia betul-betul marah pada UMNO kata UMNO ini parti sudah rosak. UMNO sudah rosak besar.

“Saya terkejut sebab dia ini calon UMNO dan kita orang bawah ke sana ke sini (berkempen) meyakinkan orang ramai bahawa UMNO adalah parti yang boleh berubah dan sudah berubah pun.

“Memang UMNO ada kelemahan dan kita boleh atasi kelemahan itu. Itulah pesanan kita kepada rakyat, tapi KJ pula memberitahu kepada rakyat UMNO sudah rosak,” katanya menerusi rakaman video yang dimuatnaik dalam Facebooknya hari ini.

Khairy ketika berucap di satu majlis silaturahim di Sungai Buloh malam tadi, secara terbuka mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin UMNO dan mahu ‘membersihkan’ parti itu jika berjaya menawan Parlimen Sungai Buloh pada PRU15.

Beliau dalam nada sinis menegaskan, semua pihak perlu mengakui UMNO perlu berubah untuk kembali menjadi parti yang boleh dibanggakan dan menjadi wadah politik terbesar seperti suatu ketika dulu.

Katanya, antara lain mengakui ada percaturan lebih besar selepas berjaya menawan Sungai Buloh iaitu membawa perubahan kepada negara, UMNO dan BN supaya masyarakat Melayu mempunyai wadah politik yang boleh dibanggakan dan terbesar di Malaysia.

Menurut Zaid yang merupakan mantan Timbalan Pengerusi UMNO Kelantan, beliau tidak tahu siapa pemimpin yang merosakkan UMNO mengikut fahaman Khairy, tetapi tidak menolak kemungkinan ditujukan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid selaku Presiden parti.

Bahkan, Khairy juga katanya memberitahu, yang boleh menyelamatkan UMNO adalah beliau dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Iyalah kalau iya pun kamu yang dapat selamatkan UMNO, tunggulah selesai PRU dahulu. Kita menangkan UMNO dahulu, biar UMNO jadi kerajaan Persekutuan dahulu.

“Kalau UMNO jadi pembangkang, kamu nak jadi presiden pun tak guna, nak reform apa?

“Saya tahulah orang muda mudah naik darah, tapi jangan rosakkan UMNO dalam keadaan sekarang. Cubalah ambil kira perasaan kita dan ahli-ahli UMNO yang lain yang siang malam turun padang membantu untuk kemenangan parti,” tegasnya.

Beliau menasihatkan Khairy, cukuplah menyerang UMNO dari dalam kerana parti ada enam hari sahaja lagi untuk PRU dan tumpukan apa yang diboleh buat untuk memenangkan bagi kawasan mereka yang bertanding.

“Nak lawan Zahid, nak cantas sesiapa pun tunggu lepas PRUlah, lepas dapat tubuh kerajaan. Kan ada pemilihan parti lima enam bulan lagi, buatlah apa yang patut dan di situ sesiapa sahaka boleh bertanding merebut jawatan.

“Cuma saya tak mahulah dalam keadaan sekarang ini dalam kita cuba memenangi setiap kerusi yang kita bertanding usahlah sebut perkara negatif terhadap pemimpin kita. Rilek la.. rilek.

“Benamkan dulu perasaan marah, perasaan dengki, perasaan nak jadi hero ini semua. Ini adalah masa untuk memenangkan diri kita sendiri dan rakan-rakan parti. Janganlah kita nak menang seorang, kita nak semua calon kita menang,” katanya. – MalaysiaGazette