Calon Barisan Nasional P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin (kanan) bersalaman dan beramah mesra dengan pelajar tahfiz ketika hadir melawat sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Darul Ulum Az Zahra, Sungai Buloh. Foto FAREEZ FADZIL, 12 November 2022.

SUNGAI BULOH – Pas tidak wajar menggunakan mengeluarkan hukum ‘undi Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) masuk neraka’ sebagai bahan berkempen.

Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jelas apa yang dilakukan itu bertentangan dengan ajaran agama Islam

“Itu memang tidak patut dibuat itu adalah satu kenyataan bertentangan dengan agama sendiri. Agama jangan kita gunakan sebagai sesuatu dalam bahan berkempen.

“Perkara ini saya rasa kita sudah tinggalkan mengkafirkan ini, zaman 80-an punya politik saya rasa tidak patut dikatakan begitu,” katanya ketika ditemui selepas program Ramah Mesra Bersama Pelajar Tahfiz Darul Ulum Az Zahra, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas mengenai video berdurasi 28 saat yang memaparkan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir mengeluarkan hukum masuk neraka sekiranya rakyat mengundi PH dan BN.

Bagaimanapun Mohd. Saiful memohon maaf atas keterlanjuran itu menerusi satu video yang dipaparkan di laman media sosial Facebook Pemuda Pas Sik.

Sementara itu Khairy menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan pusat-pusat tahfiz di Sungai Buloh untuk mengadakan kelas mengaji dalam talian jika beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Ujar beliau, pembelajaran mengaji dalam talian boleh dilaksanakan seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang mana ia merupakan antara Kata Janji untuk Parlimen Sungai Buloh yang diumumnya semalam.

“Dalam Kata Janji saya, salah satu daripada komitmen saya adalah kelas-kelas pengajian al-Quran melalui platform digital, jadi ini adalah satu peluang kita bergabung dengan pusat-pusat tahfiz supaya mereka boleh kendalikan kelas-kelas pengajian atas talian.

“Jadi kita boleh kerjasama dengan orang tahfiz untuk orang ramai. Zoom semakin popular dan boleh guna platform itu untuk belajar mengaji. Sebab tenaga ada di pusat tahfiz.

“ita boleh mengajak alumni sekolah-sekolah tahfiz untuk mengendalikan kelas-kelas mengaji yang akan diselaraskan di bawah pejabat saya nanti,” katanya. – MalaysiaGazette