LONDON – Pengendali England, Gareth Southgate membuat keputusan mengejut apabila tidak menyenaraikan beberapa pemain bertaraf bintang pada Piala Dunia Qatar 2022 selepas mengumumkan senarai rasmi 26 pemain kelmarin.
Antara pemain diketepikan ialah bintang Manchester United, Jadon Sancho yang menjadi antara pemain termahal Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berhijrah dari Borussia Dortmund dengan nilai £73 juta (RM395 juta) tahun lalu.
Namun apa yang mengejutkan, Southgate masih lagi mempertahankan keputusan untuk memanggil kapten United, Harry Maguire walaupun jarang mendapat minit permainan musim ini.
“Saya akui beberapa pertahanan muda telah mempamerkan prestasi yang baik di peringkat kelab.
“Namun, Maguire kekal menjadi salah seorang tonggak terbaik negara ini dan kami membuat pemilihan berdasarkan pengalaman demi kestabilan pasukan nanti,” kata Southgate. – MalaysiaGazette