Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof di Majlis Pelancaran Manisfesto PN Alor Gajah, Melaka, malam tadi.

ALOR GAJAH – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berjanji untuk menyelesaikan masalah jalan gelap di Asahan dan kawasan-kawasan lain dalam tempoh sebulan selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi itu yang lebih dikenali Pak Wan berkata, masalah berkenaan adalah antara 17 perkara dalam lima teras dalam aku janjinya yang dikenalpasti dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat jika tiada kerenah birokrasi.

Usaha itu bagaimanapun menurut beliau hanya melibatkan kaedah pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) di tiang-tiang lampu sedia ada tanpa membabitkan penambahan tiang lampu di kawasan terlibat.

“Pak Wan lihat, kalau tiada masalah, setakat nak tukar lampu sodium tekanan tinggi itu kepada LED ia mungkin boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan selepas menang PRU15 ini jika pembekal dan kontraktornya sudah ada.

“Hendak tukar lampu kepada LED ini singkat sahaja asalkan tiada kerenah birokrasi yang melewatkan proses itu dan tidak melibatkan pemasangan tiang lampu baharu,” katanya sambil menambah Asahan adalah antara kawasan yang sudah dikenalpasti.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Manifesto PN Parlimen Alor Gajah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gangsa, di sini, lewat malam tadi.

Di bawah jenama Tawaran Untuk Rakyat Alor Gajah itu, Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggariskan 17 tawaran meliputi lima teras utama.

Ia adalah pemerkasaan keusahawanan, membina hab sukan elektronik di bawah teras sukan, pendidikan, infrastruktur dan menambah baik jaringan jalur lebar di kawasan terjejas bagi teras kesejahteraan masyarakat.

“Semua tawaran ini dirangka berdasarkan daripada maklum balas yang Pak Wan terima selama empat tahun perkhidmatan sebelum ini dengan mendekati permasalahan secara mikro tanpa meminggirkan mana-mana lapisan masyarakat

“Selain itu, sekiranya dipilih, Pak Wan juga akan menyambung beberapa program ketika menjadi Menteri Pembangunan Usahawan sebelum ini termasuklah program SmartFarmer dan Biasiswa Pak Wan kepada anak-anak tempatan,” katanya.

Pada PRU kali ini, Parlimen Alor Gajah bakal menyaksikan saingan empat penjuru antara Mohd Redzuan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (Pejuang- Berjasa). – MalaysiaGazette.

 

1 Komen

Comments are closed.