Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Semua 63 jemaah umrah warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu, selesai dibawa pulang ke tanah air tengah hari ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra, baki 23 jemaah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 1.20 tengah hari ini menerusi penerbangan MH8023 dari Jeddah.

“Dengan ketibaan ini, kerajaan Malaysia telah membawa pulang semua 63 jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

“Kumpulan pertama seramai 36 jemaah tiba pada 4 November lalu, diikuti kumpulan kedua empat orang yang tiba pada 7 November,” kata kenyataan itu.

Urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas itu dilakukan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam membantu usaha membawa pulang semua jemaah berkenaan.

Wisma Putra menasihatkan warganegara Malaysia agar sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara. – MalaysiaGazette