KUALA SELANGOR – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang memfitnahnya berhubung salah laku rasuah.
Beliau berkata, walaupun sebelum ini hanya mendengar perkara sekadar khabar angin sahaja, namun Menteri Kewangan itu kini mempunyai bukti beliau difitnah dan sedia untuk membawanya ke mahkamah.
“Saya tidak tahu fitnah apa dilemparkan kepada saya (sebelum ini), jika ada tuduhan tidak betul, saya akan bincang dahulu dengan pegawai untuk tindakan selanjutnya.
“Tuduhan berbentuk fitnah ini bagi saya biarlah rakyat yang menjadi hakim.
Tindakan mahkamah ini perlu dilakukan untuk membersihkan nama baik saya yang tercemar kerana dakwaan palsu ini,” katanya dalam wawancara khas bersama media di sini, semalam.
Pada 7 November lalu, calon GTA-Pejuang, Shaid Rosli mendakwa Tengku Zafrul melakukan kesalahan dan melanggar peraturan di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 1957.
Shaid yang juga Ahli Dewan Negeri Jeram mendakwa, Tengku Zafrul melakukan pemasangan bahan kempen sebelum hari penamaan dan berbelanja melebihi had iaitu RM200,000 untuk membiayai kempen politik.
Selain itu, Shaid turut mendakwa, Tengku Zafrul berbelanja mewah dengan menganjurkan jamuan makan kepada orang awam sedangkan perbuatan itu dilarang sepanjang tempoh berkempen.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul mahu memberi fokus kepada kebajikan rakyat berbanding melayan fitnah jahat dilempar parti lawan PRU15, apatah lagi tempoh berkempen hanya berbaki lima hari lagi.
“Fitnah ini biasa terjadi lebih-lebih lagi musim pilihan raya dan bukan saya seorang sahaja difitnah,” katanya.
Menurutnya, pengundi tidak mudah terpedaya dengan fitnah, sebaliknya mereka ingin tahu keupayaan calon untuk membantu dan memperjuangkan kebajikan masyarakat.
“Saya sebagai pengundi pun hendak tahu apa manifesto, aku janji dan apa yang calon boleh laksanakan untuk rakyat.
“Ini bukan soal apa yang calon cakap kepada calon lain, lebih-lebih lagi pengundi sekarang pandai menilai dalam soal kewibaan calon dan keupayaan parti.
“Saya sendiri tidak fokus kepada isu yang tidak produktif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette