Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon BN N.37 Guai, Datuk Sabariah Saidin (dua kiri) melakukan kukur kelapa bersama penduduk pada Program Sukaneka Keluarga Kampung Bukit Serdang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kuala Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2022.

BERA – “Itu baru setahun empat bulan saya jadi Perdana Menteri, kalau bagi lagi lima tahun.. lagi banyak yang boleh diberikan.”

Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengimbas pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan pimpinan dalam waktu yang singkat sebagai orang nombor satu negara.

Beliau yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) Bera berkata demikian semasa berucap di hadapan kira-kira 200 penduduk kampung  dan merayu supaya mereka terus memberi sokongan kepadanya untuk terus mempertahan kerusi itu pada PRU15 ini.

Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi calon BN N.37 Guai, Datuk Sabariah Saidin (tiga kanan) membaling dart pada Program Sukaneka Keluarga Kampung Bukit Serdang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kuala Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2022.

“Nak perkenalkan diri, rasanya semua dah kenal. Saya selalu datang sini, sertai macam-macam program di sini,” katanya.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bera  turut berkata, kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa memberi tumpuan dalam pembangunan infrastruktur dan pembangunan masyarakat luar bandar.

Justeru, katanya, ia boleh dikekalkan malah ditambah baik sekiranya BN diberi mandat untuk menerajui negara 19 November ini.

“Macam-macam bentuk bantuan yang kerajaan berikan lebih-lebih lagi buat masyarakat luar bandar,” ujarnya.

Ismail Sabri juga mengambil kesempatan singgah ke acara Sukaneka Keluarga Malaysia di Kampung Bukit Serdang dan menyertai acara sukan rakyat seperti sepak penalti futsal, simulasi balingan dart dan paling menarik kukur buah kelapa.

Program yang dihadiri kira-kira 200 warga Kampung Bukit Serdang itu turut dihadiri calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Datuk Sabariah Saidan.- MalaysiaGazette