Operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan disebabkan gangguan suis petang ini.

KUALA LUMPUR – Operasi LRT Laluan Kelana Jaya yang digantung sejak 9 November lalu akan dibuka semula sepenuhnya esok, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Pengoperasi itu adalah dua hari lebih awal daripada tempoh yang dijangkakan.

Menurut beliau, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya.

”Namun, pemantauan oleh pakar teknikal Rapid Rail dan juga pihak OEM akan diteruskan bagi memastikan kelancaran sistem yang berterusan.

”Saya berharap pembukaan ini dapat memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang untuk ulang alik ke tempat kerja dan untuk menjalankan aktiviti harian,” katanya yang turut menyertai sesi talimat dan ujian keberkesanan sistem dan keselatan operasi LRT Laluan Kelana Jaya yang dijalankan oleh pengurusan dan pakar teknikal Rapid Rail.

Tambahnya, ujian yang dijalankan itu termasuk menggandakan lagi ujian dengan melibatkan 38 unit tren dari Stesen Gombak ke Stesen Putra Height malam semalam sehingga awal pagi ini bagi memastikan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya adalah selamat dan sedia untuk pembukaan semula secara penuh.

Sesi ujian malam semalam turut disertai oleh Bahagian Penguatkuasaan Rel (RED) dan Bahagian Perancangan Rel (REL) dan APADA dan ujian-ujian tersebut menunjukkan sistem-sistem kritikal keselamatan adalah stabil tanpa gangguan.

”Saya amat berpuas hati dengan analisa keatas ujian meluas yang dijalankan,” ujar beliau.

Meskipun operasi bermula esok, Ka Siong berkata, beliau telah meminta Prasarana untuk terus menyediakan bas-bas perantara di stesen-stesen hot spot sebagai langkah persediaan.

Pada masa sama, beliau telah meminta pengurusan Prasarana untuk mempercepatkan proses penggantian sistem ATC yang baharu agar masalah seperti ini tidak berulang lagi.

“Kepada pengguna yang terjejas, pampasan tiket selama 7 hari akan diberikan walaupun pemberhentian perkhidmatan selama lima hari.

”Akhir kata, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua jurutera Rapid Rail dan semua pihak yang terlibat, bertungkus lumus 24 jam, membaiki dan memulihkan sistem sejak hari pertama kejadian berlaku.

”Tidak dilupakan juga kepada seluruh warga Rapid Bus, Smart Selangor dan Mara Liner yang menyediakan lebih 100 bas perantara percuma setiap hari, petugas-petugas di stesen dan DBKL serta kakitangan sokongan yang membantu melancarkan perjalanan pernumpang LRT yang terjejas.

”Saya juga melihat di media sosial ada di kalangan warga kota yang turut membantu menyediakan shuttle percuma dengan kenderaan sendiri mengangkut penumpang dari stesen LRT ke destinasi mereka. Usaha ini amat dipuji dan adalah bukti kerjasama kita semua sebagai Keluarga Malaysia,” tambah Ka Siong. – MalaysiaGazette