Anggota Bomba meninjau kawasan yang dinaiki air berikutan fenomena air laut pasang besar dan monsun timur laut yang mencecah paras 5.4 meter ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pengkalan Nelayan Tok Muda Kapar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bilik Gerakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seluruh negara telah diaktifkan bagi membantu mangsa banjir terutamanya golongan petani, penternak dan nelayan yang terjejas.

Laporan awal kejadian bencana bagi sektor tanaman semasa secara kumulatif sehingga hari ini adalah seramai 256 orang petani dengan anggaran keluasan 374.81 hektar kawasan pertanian terlibat.

Antara negeri yang terlibat adalah Pahang dengan empat daerah, manakala Kedah, Perak dan Selangor masing-masing dua daerah dan Johor satu daerah terlibat.

Melalui MAFI Inc.di negeri- negeri telah menggerakkan jabatan dan agensi untuk segera memantau dan bersiap-siaga selain turun padang meninjau keadaan terutamanya golongan sasar MAFI bagi menilai kerosakan dan kerugian yang dialami, serta segera menghulurkan bantuan kepada pihak terlibat.

Bilik Gerakan Bencana Pusat juga telah digerakkan bagi persiapan mengenai intervensi bantuan kepada komuniti agromakanan yang terjejas disebabkan bencana banjir.

MAFI juga sentiasa bersiap-siaga untuk menyalurkan bantuan sejurus maklumat berkaitan diperolehi di lapangan oleh pegawai-pegawai MAFI Inc. yang turun padang bagi meninjau dan membantu mangsa, katanya dalam satu kenyataan.

Tumpuan utama kini diberikan kepada pemantauan situasi secara harian oleh pasukan MAFI Inc. di setiap negeri dan daerah yang terkesan, manakala negeri- negeri lain diminta untuk bersiap-siaga selain berkerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak berkuasa tempatan bagi menghadapi situasi luar jangka.

Kementerian akan sentiasa memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa terutamanya golongan sasar MAFI diberi perhatian sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak terutamanya jabatan dan agensi negeri, selain memastikan sekuriti makanan sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan. – MalaysiaGazette