KUALA LUMPUR- Polis sedang menyiasat laporan berhubung poster calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jerai yang disimbah cat hitam di Yan, Kedah tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Yan Supt Shahnaz Akhtar Haji berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian poster Datuk Seri Jamil Khir Baharom disimbah cat hitam itu kira-kira 12.35 tengah malam tadi.
Katanya, laporan dibuat oleh seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerai selepas dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat cat hitam yang disimbah di bahagian wajah calon di poster berkenaan. Siasatan sedang dijalankan.
“Saksi yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat kepada polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Shahnaz kejadian berlaku di kawasan gelap serta tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
“Saya ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan selain mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan sepanjang tempoh berkempen,” katanya.- MalaysiaGazette