Wanita (di dalam bulatan) sedang dicari pihak berkuasa Turki kerana meninggal beg yang mengandungi bahan letupan di Jalan Istiklal. Foto Agensi

ISTANBUL – Enam orang terbunuh dan 81 yang lain cedera ketika letupan menggegarkan laluan pejalan kaki yang sibuk di tengah-tengah Istanbul.

Presiden Recep Tayyip Erdogan menyifatkan serangan bom tersebut “berbau keganasan”.

Kejadian itu berlaku di Jalan Istiklal yang penuh sesak dan mempunyai tahap keselamatan yang tinggi.

Bercakap sebelum berlepas ke sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Indonesia pada Ahad, Erdogan berkata, letupan itu adalah “serangan khianat” dan berjanji pelakunya akan dihukum.

“Mereka yang terlibat akan dihukum sebagaimana yang sepatutnya,” katanya pada sidang akhbar.

Erdogan menambah, maklumat awal mencadangkan pelaku tersebut adalah seorang wanita bersama dua lelaki.

“Mungkin salah untuk mengenal pasti tragedi ini satu serangan pengganas tetapi risikan awal daripada gabenor menyatakan ia ‘berbau keganasan’,” ujarnya.

Empat orang mati di tempat kejadian dan dua meninggal dunia di hospital, kata Erdogan.

Naib Presiden Fuat Oktay kemudiannya mengemas kini jumlah yang cedera kepada 81, dengan dua dalam keadaan serius.

Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya sebelum ini berkata, letupan itu berlaku kira-kira 4:20 petang waktu tempatan pada hari Ahad.

Sebuah video yang disiarkan dalam talian menunjukkan api meletus dan bunyi dentuman kuat, menyebabkan orang ramai yang berjalan kaki melarikan diri.

“Takziah saya kepada mereka yang kehilangan nyawa dalam letupan di Jalan Istiklal,” kata Datuk Bandar Ekrem Imamoglu menerusi Twitter.

Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab atas letupan itu.

Turki dilanda rentetan pengeboman maut antara 2015 dan 2017 oleh ISIL (ISIS) dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan.

Media melaporkan tiga suspek dilaporkan terlibat dalam letupan itu.

Suspek dikatakan telah menjatuhkan beg bahan letupan di tengah jalan yang dipenuhi orang awam dan ia meletup beberapa minit selepas dia pergi.

Setakat ini, belum ada maklumat tentang pelaku. – Agensi