Kamarudin menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang pertandingan memasak Bandar Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebab untuk penduduk dalam Parlimen Bandar Tun Razak menukar wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Ini kerana, penyandang Parlimen itu, Datuk Kamarudin Jaffar amat cakna dan prihatin dengan segala permasalahan dihadapi pelbagai lapisan masyarakat di situ sejak diangkat sebagai wakil rakyat pada PRU14.

Kamaruddin (tengah) melihat peserta memasakan dalam pertandingan Memasak Bandar Tun Razak.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Kasturi, Muhammad Fadzil Zainuddin bahawa Timbalan Menteri Luar itu sangat prihatin dengan keluhan dan keperluan rakyat.

Katanya, Kamarudin juga sentiasa peduli rakyat setiap kali penduduk mengadu permasalahan, selain tidak pernah lupa menjaga kebajikan anak-anak muda di kawasan itu.

“Contoh, gelanggang serbaguna berusia lebih 10 tahun rosak, apabila kami adu, dia terus menaiktaraf gelanggang ini dan kini digunakan penduduk serta anak muda bermain badminton, takraw dan pelbagai aktiviti lain.

“Beliau memang tidak asing bagi penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak kerana sentiasa menghidupkan suasana dengan program untuk pelbagai lapisan masyarakat di sini.

Kamarudin memotong reben merasmikan pertandingan memasak dan gelanggang serba guna Bandar Tun Razak.

“Golongan belia, wanita dan komuniti keseluruhannya dijaga keperluannya demi memastikan kebajikan masyarakat menjadi keutamaan beliau,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Kamarudin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bandar Tun Razak merasmi dan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Memasak Bandar Tun Razak di Dewan Pangsapuri Kasturi.

Katanya, program itu mendapat sambutan menggalakkan khususnya dalam kalangan wanita.

“Wanita merupakan tulang belakang negara yang penting dan aktiviti sebegini dapat menjadi satu bentuk riadah di hujung minggu bagi mereka.

“Ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam komuniti,” katanya yang selepas itu merasmikan gelanggang serbaguna Pangsapuri Kasturi. – MalaysiaGazette