Muhyiddin dan Dr. Afif pada program ceramah kelompok di Flat PKNS Seksyen 18, di Shah Alam, malam ini.

SHAH ALAM – Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat memberi undi kemenangan kepada semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Ini kerana, katanya, PN mempunyai pemimpin yang amanah dan berintegriti berbanding Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, PN bawah pimpinannya sebagai Perdana Menteri kelapan telah membuktikan kejayaan mengekang wabak Covid-19.

“Hanya PN yang terbaik untuk membantu seluruh rakyat dalam negara ini yang suatu ketika dahulu terkesan dengan masalah Covid-19.

“Saya waktu itu adalah Perdana Menteri kelapan yang menguruskan masalah Covid-19 negara dan bersyukur, pada hari ini kita sudah pulih. Malaysia diberitahu antara negara pertama menempah vaksin, berbanding dengan negara lain.

“Pada hari ini kita sudah pun kembali sihat walafiat tetapi berjaga-jagalah kerana Covid-19 masih ada dalam kalangan kita hari ini,” katanya di ceramah kelompok PN di Flat PKNS Seksyen 18, di sini, malam ini.

Turut hadir, calon PN Parlimen Shah Alam, Dr. Afif Bahardin.

Muhyiddin mengimbau kesusahan rakyat pada waktu itu, yang mana mereka tidak dibenarkan bekerja bagi mengelakkan berlaku penularan dan peningkatan kes positif serta kematian akibat Covid-19.

“Namun, kerajaan pada masa itu berjaya membantu rakyat dengan menyalurkan pelbagai bantuan prihatin. Siapakah yang menguruskan semua itu, kalau bukan “abah”.

“Tak apa panggillah saya Abah, saya pun sudah (berumur) 75 tahun, agak tua tapi masih bertenaga, masih mampu memikul tanggungjawab untuk menerajui negara di masa akan datang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast