Calon Barisan Nasional (BN) P.147 Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad menyantuni warga emas, Ahmad Erpan dan isterinya, Sukini Arip pada Program Ziarah Kasih sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parit Sentang Batu, Johor. Foto AFFAN

PARIT SULONG – Pendidikan merupakan satu pelaburan terbaik dalam membina generasi akan datang supaya mampu mengangkat martabat negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, ia merupakan satu agenda sejak sekian lama yang diusahakan oleh Barisan Nasional (BN) di mana sistem persekolahan di negara ini adalah percuma.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Parit Sulong menegaskan, menyedari hakikat tersebut BN melihat perkara itu sebagai sesuatu yang sangat penting dan wajib diberikan kepada keseluruhan rakyat.

“Mendepani cabaran masa kini Barisan Nasional telah membuat satu Perancangan Amal Dan Usaha atau singkatannya PADU dalam membantu mengurangkan bebanan keluarga dan memastikan setiap kanak-kanak diberikan pendidikan asas.

“Di dalam fokus lima PADU pendidikan awal dan asuhan percuma, ia akan diberi kepada semua kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

“Selaku Pengerusi Wanita BN juga Menteri Pengajian Tinggi, saya melihat inisiatif PADU ini sangat baik, bersesuaian demi kepentingan pendidikan anak bangsa dan agenda pendidikan negara,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas mengadakan program ziarah kasih di sini, hari ini.

Noraini berkata, PADU merupakan rangkuman terbaik dalam melengkapi agenda pendidikan negara ketika tempoh mencabar ini dimana ia dapat memastikan tiada lagi kanak-kanak yang tercicir dan semua akan diberikan makanan berkhasiat sehingga umur lima tahun.

Ujarnya, fokus tersebut tidak terhad kepada golongan B40 atau sesetengah kaum sahaja tetapi ia adalah untuk kebaikan semua kanak-kanak di Malaysia.

Selain itu beliau berkata, ia dapat meringankan beban ibu bapa yang baru membina keluarga di mana hasil penjimatan daripada saraan kanak-kanak itu nanti akan disalurkan kepada penjaga untuk peningkatan kualiti hidup mereka.

“Dengan adanya fokus lima PADU ini, semua kanak-kanak di negara ini dapat belajar sampai ke tingkatan lima secara percuma dan ia boleh meningkatkan kualiti hidup dalam jangka masa yang panjang,” tambah beliau. – MalaysiaGazette