Antara kawasan yang dinaiki air selepas berlakunya kejadian banjir kilat yang melanda ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Seri Puteri Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 NOVEMBER 2022.

KLANG – Penduduk-penduduk Meru di sini merayu kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan segera menyelesaikan masalah perparitan yang menyebabkan punca banjir kilat.

Mangsa banjir, Mohd Fajri Ali, 59, masalah itu perlu diberi keutamaan kerajaan baharu yang dipilih pada 19 November ini kerana keadaan semakin kritikal dan  membebankan rakyat.

Katanya, banjir di sini bukan baru disebabkan sistem perparitan tidak sistematik justeru kawasan ini memerlukan wakil rakyat yang cakna masalah penduduk.

”Sudah dua kali banjir besar berlaku. Kami penat nak kemas.

“Saya percaya perancangan perparitan yang teliti dapat menyelesaikan masalah banjir. Namun jangan pula parit sudah siap, dibiarkan tanpa diselenggarakan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Sungai Binjai, hari ini.

Isu perparitan antara yang dibangkitkan mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai sejak Khamis lalu.

Tinjauan MalaysiaGazette di Persiaran Hamzah Alang di Parlimen Klang mendapati perparitan di kawasan berkenaan masih ditakungi air yang tinggi dan terdapat mangsa banjir sedang sibuk membersihkan rumah mereka selepas dinaiki air pada Jumaat.

Dalam pada itu, turut kelihatan beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turun padang membantu penduduk sekitar membersihkan tempat ibadah di Surau Jamiah Meru Tengah.

Siti Halijah Sukor

Siti Halijah Sukor, 33 pula mendakwa, isu perparitan memang sudah lama berlaku tetapi banjir sejak Khamis lalu berkemungkinan besar disebabkan oleh pembinaan di takungan air Alam Budiman.

Katanya, kerajaan sepatutnya menilai setiap pembangunan yang diluluskan sama ada sesuai atau tidak kerana ia akan memberi kesan kepada penduduk setempat dan alam sekitar.

“Punca banjir ini mungkin akibat daripada pembinaan di kawasan takungan air Alam Budiman. Air akan melimpah keluar sekiranya hujan lebat berlaku walaupun beberapa jam sahaja.

“Selalunya kalau hujan lebat biasa, tiada berlaku banjir sampai masuk ke rumah.. tapi kali ini teruk,” katanya di sini.

K.Supersani

Sementara itu, G Supeesani, 38, yang kini menjaga suaminya selepas diserang angin ahmar, merayu kepada semua calon atau bakal pemimpin untuk turun padang mendengar suara rakyat.

Katanya, selain daripada fokus kepada infrastuktur, mereka juga perlu mengambil tahu tentang kebajikan rakyat yang terkesan akibat banjir.

“Ramai lagi rakyat yang berada dalam kesusahan terutamanya ketika musim banjir ini dan wakil rakyat yang telah dipilih perlu turun padang dekati kami semua.

“Saya boleh undi mereka, tapi jangan buat kami ini seperti tiada apa-apa. Bila kita minta bantuan mereka marah dan tak nak ambil tahu.

”Suami saya sakit ditambah situasi banjir macam ini, memang membebankan saya untuk tanggung seorang diri,” katanya sambil mengalir air mata.

Pada PRU15, Parlimen Klang kali ini menyaksikan pertembungan tujuh penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Tee Hooi Ling V Ganabatirau (PH), P Jaya Chandran (PN), Loo Cheng Wee (Warisan) dan S Chandrasegar (Parti Rakyat Malaysia-PRM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast