Paparan kertas undi yang didakwa ditularkan oleh calon PH Parlimen Batu, P. Prabakaran.

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Batu, P. Prabakaran menjelaskan gambar kertas undi yang didakwa didedahkan olehnya di media sosial bukan dilakukan beliau tetapi pentadbir yang mengendalikan akaunnya secara tidak sengaja.

Menurut beliau, kertas itu telah dimuat naik oleh pentadbir akaun media sosialnya daripada pengguna akaun lain.

”Sebenarnya pengendali akaun saya telah berkongsikan apa yang orang tag saya secara tidak sengaja, tanpa disedari.

“Sejurus selepas menyedari kesilapan itu, kita telah segera memadamkan perkongsian itu, secara jujurnya kami tak pernah dedahkan apa-apa kertas undi SPR,” katanya dalam sidang media di pejabat beliau di Jalan Ipoh hari ini.

Beliau yang bertanding mewakili Pakatan Harapan mendakwa, calon bebas, Siti Kassim telah tangkap layar gambar tersebut dan menularkannya di media sosial.

Pada masa yang sama, Prabakaran juga melahirkan rasa kekesalan atas kesilapan tidak sengaja itu dan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa jika diperlukan.

“Sekiranya aduan dibuat dan dipanggil oleh pihak berkuasa kelak, saya bersedia untuk beri keterangan dan memberi kerjasama penuh,” jelasnya sambil menambah perkara itu sudah dirujuk kepada peguam.

Untuk makluman, tindakan berkongsi atau mendedahkan kertas undi SPR merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Kertas undi yang didakwa bagi Parlimen Batu ditularkan di media sosial yang memaparkan lambang dan 10 nama calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15. – MalaysiaGazette

Prabakaran kongsi paparan kertas undi di media sosial?