Wednesday, April 17, 2024
Home Sukan Trofi Piala Dunia 2022 akhirnya tiba di Doha

Trofi Piala Dunia 2022 akhirnya tiba di Doha

Foto The Peninsular Qatar.
DOHA – Trofi Piala Dunia FIFA akhirnya tiba di Doha semalam selepas selesai jelajah globalnya yang merangkumi lebih 50 negara dan wilayah, beberapa hari sebelum bermulanya Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
Agensi Berita Qatar (QNA) melaporkan, jelajah itu bermula di Dubai, UAE pada Mei dan menjelajah semua negara yang mengambil bahagian dalam Piala Dunia FIFA Qatar 2022 termasuk negara lain, dan tradisi itu pertama kali dianjurkan pada 2006.

Pasukan yang menang akan dinobatkan gelaran juara di Stadium Lusail pada 18 Disember, yang juga Hari Kebangsaan Qatar.

Trofi Piala Dunia FIFA sebenar akan kekal di bawah seliaan Jawatankuasa Tertinggi bagi Penghantaran dan Warisan (SC) dan FIFA sehingga perlawanan akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022, sebelum diserahkan kepada pasukan yang memenangi kejuaraan.
Mengikut peraturan FIFA, hanya bekas juara dan ketua negara berhak menyentuh piala itu, dan disimpan sementara oleh pasukan yang menang.
Kemudian, pemenang akan menerima trofi lain bersalut emas khas yang mengandungi ukiran bendera kejohanan, negara tuan rumah beserta nama pasukan yang menjuarai pertandingan.
Sementara itu, trofi asal yang diperbuat daripada emas itu akan dikembalikan kepada FIFA, mengikut undang-undang dan peraturan.
Walaupun trofi diberikan kepada pasukan yang menang, ia tetap menjadi hak milik FIFA.
Trofi itu diperbuat daripada emas tulen seberat 6.142 kilogram dan diukir dengan dua orang yang menjulang dunia, dengan reka bentuknya dibuat pada 1974. – MalaysiaGazette