UCSI menempatkan diri dalam kelompok 75 terbaik di Asia bagi tahun 2023.

KUALA LUMPUR – Universiti UCSI berada di kedudukan ke-72 peringkat Asia dalam saingan terkini QS Asia University Rankings 2023 selepas melonjak 140 kedudukan sepanjang tempoh lima tahun berturut-turut.

Naib Canselor Universiti UCSI, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir

Naib Canselor Universiti UCSI, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, kedudukan terkini universiti itu menunjukkan kemajuan dicapai terutama dalam bidang penyelidikan dan kepimpinan yang berwibawa.

“Mendaki 140 kedudukan dalam tempoh lima tahun adalah hasil kerja keras bertahun-tahun. Kekalkan prestasi bukan mudah dan saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pelajar, alumni, staf dan rakan industri atas sumbangan mereka.

“Kami akan terus memfokuskan kepada kemenjadian graduan, pengalaman pelajar dan penyelidikan,” katanya.

Malah Universiti UCSI juga berada di kedudukan ke-16 mengikut QS Asia University Rankings 2023: Asia Tenggara.

Pada Jun lalu, Universiti UCSI diiktiraf sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia dengan berada di kedudukan ke-284 sekali gus berada dalam kelompok 0.9% terbaik di dunia.

Perkembangan ini mendorong usaha kerjasama UCSI dengan universiti terkenal dalam bidang penyelidikan, penciptaan pengetahuan serta pertukaran pelajar dan staf.

Ramai pelajar UCSI yang telah terpilih untuk menyertai program penyelidikan berimpak tinggi di universiti terkemuka dunia seperti Harvard, Imperial College London, Tsinghua dan Queensland.

Terbaharu, tiga lagi pelajar perubatan UCSI berlepas ke Harvard pada Oktober lalu untuk mengikuti program penyelidikan berimpak tinggi. -MalaysiaGazette