Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang ketika membuang undi pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan proses pengundian Sabtu ini berjalan lancar jika berlaku bencana alam seperti banjir.

“Atur gerak ATM ini cuma untuk membantu jika perkara tidak diingini berlaku seperti bencana alam atau banjir sahaja, maka itu kita akan atur buat pergerakan,” kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata selepas membuang undi di Parlimen Setiawangsa di sini hari ini.

Jelasnya, ATM tidak terlibat secara langsung dalam proses pengundian dan bidang kuasa itu terletak kepada SPR dan pihak penguatkuasa awam yang berkenaan.

“Kita cuma membantu SPR (dalam hal bencana alam) sebab kita juga ada keperluan lain, kita bukan sebagai barisan hadapan, kita di barisan belakang sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Affendi turut berpuas hati dengan jumlah peratusan keluar mengundi dalam kalangan anggota serta pegawai tentera setakat pagi tadi.

Beliau melahirkan penghargaan atas komitmen semua warga ATM yang dikatakan sanggup beratur seawal jam 8 pagi bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Jeneral Tan Sri Affendi Buang bersama isteri selepas selesai membuang undi. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 NOVEMBER 2022.

Terdahulu, Affendi ditemani isterinya, Puan Seri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah kira-kira jam 10.30 pagi hadir bagi membuang undi di saluran satu di sekolah berkenaan yang merupakan antara 10 pusat pengundian awal di Kuala Lumpur.

Turut hadir sebagai pengundi awal di pusat tersebut ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan isteri.

SPR dalam perangkaannya memaklumkan seramai 117,473 warga ATM di seluruh negara serta pasangan akan menunaikan tanggungjawab dalam pengundian awal hari ini. – MalaysiaGazette