SEBERANG PERAI – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bukit Mertajam, Tan Yang Pang disahkan positif Covid-19 hari ini.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Yang Pang atau mesra disapa Ah Pang menerusi satu hantaran di Facebook miliknya bersama gambar keputusan ujian kendiri Covid-19.

Beliau turut memohon maaf kepada pengundi-pengundinya kerana tidak dapat bertemu dan berkongsi aspirasinya sebagai calon BN di Parlimen Bukit Mertajam berikutan dijangkiti wabak berkenaan.

“Walaupun saya menjalankan kuarantin kendiri di rumah, kempen-kempen saya akan diteruskan oleh rakan seperjuangan Team Ah Pang.

“Rakan Team Ah Pang juga akan memantau keadaan paras air di kawasan-kawasan banjir selain akan cuba menghulur bantuan kepada mangsa. Jika perlu bantuan boleh hubung bilik operasi 04 539 4003,” katanya  dalam hantaran tersebut.

Yang Pang bertanding menentang penyandang bagi kerusi Parlimen tersebut, Steven Sim yang mewakili Pakatan Harapan dari DAP serta calon Perikatan Nasional (PN), Steven Koh dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada Sabtu ini.