KUALA LUMPUR-Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Titiwangsa, Khalid Abdul Samad meminta pengundi dan jentera bekerja lebih keras supaya parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Komunikasi Parti Amanah berkata, sejak kebelakangan ini banyak kajian dibuat mengenai peluang parti-parti yang bertanding dalam PRU15 untuk memenangi pilihan raya itu.
Beliau yang menyifatkan kajian itu sebagai ‘ramalan tukang tilik’ berkata, tiada satu pun dapatan yang menunjukkan ada parti yang mendapat majoriti besar untuk membentuk kerajaan.
“Kita perlu ambil kajian ini sebagai pendorong kerja keras lebih keras kerana kita memerlukan lebih daripada 112 kerusi Parlimen.
“Kita mahu tubuhkan kerajaan yang stabil dan kuat kali ini,” katanya dalam ucapan Ceramah Mega Harapan Parlimen Batu yang dihadiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Dato Senu, Sentul malam tadi.
Jelas Khalid, pembentukan kerajaan melalui gabungan bersama parti-parti lain bukan sesuatu yang stabil.
“Andai kata kerajaan dibentuk melalui gabungan saat akhir dan katakan PH hanya dapat 105 kerusi dan bergabung dengan parti lain yang mempunyai 20 kerusi maka apa jaminannya mereka akan bersama kita hingga akhir.
“Maka ia bukan satu penyelesaian baik dan kita kena berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya 112 kerusi agar jika kita membuat kerajaan gabungan pun, ia tidak mendatangkan masalah pada masa depan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette