Ketua Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain pada Perlawanan Akhir Piala FA 2022 antara JDT dan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pbengendali Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain akan dikenakan tindakan setelah mengkritik tahap profesionalisme pihak pengurusan kelab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Ab. Rasid Jusoh menjelas, kenyataan dibuat ketua jurulatih berusia 44 tahun itu telah mencalarkan imej kelab selain menjejaskan hubungan kedua-dua pihak.

Katanya, pihak pengurusan mendapati Nafuzi  juga telah berunding dan menandatangani perjanjian lebih awal dengan sebuah kelab Liga Super sejak Ogos lagi.

“Ini adalah perlanggaran terma kontrak di mana pegawai (Nafuzi) tidak boleh menandatangani perjanjian bersama mana-mana kelab selagi masih terikat kontrak dengan TFC.

“Ianya adalah tindakan yang tidak profesional. Sebaliknya beliau seolah-olah meletakkan kesalahan kepada pihak pengurusan dengan melempar pelbagai tuduhan.

“Jadi kita akan teliti tindakan lanjut yang akan diambil kepada pegawai (Nafuzi) di atas tindakannya yang telah mencalarkan imej kelab secara terang-terangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sabtu lalu, Nafuzi meluahkan kekecewaannya terhadap pihak pengurusan Terengganu yang didakwa bersikap acuh tak acuh serta tidak menghargai beliau sebagai pengendali pasukan.

Menurutnya, tiada perbincangan dua hala dalam menentukan terma dan syarat kontrak baharu selain menetapkan indeks prestasi utama (KPI) yang tidak masuk akal tanpa diambil pandangannya.

Lebih menyedihkan adalah tindakan pihak pengurusan yang menyerahkan surat tawaran lanjutan kontrak dua hari lewat daripada tarikh sepatutnya dan ia diserahkan oleh ‘kitman’ pasukan di padang latihan.

Musim ini adalah tahun terbaik Nafuzi bersama skuad Sang Penyu apabila membawa kelab itu muncul naib juara Piala FA dan Liga Super selain akan bertemu Selangor di separuh akhir Piala Malaysia malam ini. – MalaysiaGazette