SHAH ALAM – Kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan 16,799 anggota polis di Selangor telah keluar mengundi awal sehingga jam 10.15 pagi ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini proses pembuangan undi di 51 Pusat Mengundi Awal di seluruh negeri berjalan lancar.
“Keseluruhan anggota mengundi awal dan pos di Selangor ada 16,799 orang. Ini merujuk kepada pegawai dan anggota di Kontinjen Selangor juga dari Maktab Polis Diraja Cheras, PGA Briged Tengah dan Batalion PGA di Semenyih serta anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
“Proses setakat ini berjalan lancar dan pengundi awal telah berkumpul di pusat mengundi masing-masing sejak jam 7.30 pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses mengundi awal anggota PDRM di Dewan D’Cerana IPK Selangor, di sini, hari ini.
Mengenai anggota polis yang disahkan positif Covid-19, Arjunaidi berkata, ia bergantung kepada keadaan anggota berkenaan dan urusan pengundian mereka akan diatur secara khusus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelak menjangkiti orang lain.
Beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan bilangan anggota yang disahkan positif Covid-19 kerana turut melibatkan kontinjen lain.
Ditanya bagaimana persediaan PDRM mengawal keadaan kempen yang berbaki tiga hari lagi, kata beliau, pihaknya telah memperketatkan lagi pemeriksaan dengan menambah anggota.
“Esok anggota bantuan akan mula sampai dan akan buat kawalan keselamatan yang lebih ketat dan baik.
“Sekarang ini perjalanan kempen sejak 5 November lalu berjalan lancar walau berlaku beberapa insiden yang tidak sepatutnya, tetapi tidak banyak dan tidak ada masalah serius.
“Setakat ini kita buka 16 kertas siasatan di Selangor yang berkaitan dengan kes merosakkan poster, bendera dan juga kes berlakunya mengganggu perjalanan kempen, tetapi tidak serius,” katanya. – MalaysiaGazette