KUALA LUMPUR – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bermula secara rasmi pada pukul 8 pagi ini, melibatkan sejumlah 224,828 pengundi awal.
Daripada jumlah itu, 117,473 orang adalah anggota tentera dan pasangan, manakala 107,355 lagi adalah polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka.
Sebanyak 578 pusat pengundian awal dibuka di seluruh negara antaranya melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera, dengan sejumlah 970 saluran.
Untuk itu, SPR dalam kenyataan semalam menasihatkan pengundi agar membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018/03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
SPR turut menyarankan pengundi awal yang positif COVID-19 untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal masing-masing.
Kertas undi awal tidak akan dikira hari ini dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap-lokap balai polis untuk jagaan selamat.
Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada hari pengundian 19 Nov, bermula pukul 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon.
PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15).
PRK DUN Bugaya pula diadakan serentak dengan PRU15 selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 5 Nov lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 Nov.
— BERNAMA