Calon Barisan Nasional (BN) P.062 Sungai Siput, Tan Sri S.A. Vigneswaran

SUNGAI SIPUT – Tan Sri SA Vigneswaran memilih untuk bertanding di sini bukan kerana kerusi ini pernah memberi kemenangan kepada MIC lebih 40 tahun lalu.

Sebaliknya, Presiden MIC ini telah mula berkhidmat untuk masyarakat setempat di sini sejak awal 2019 walaupun mereka memilik pembangkang sejak 15 tahun lalu.

Vigneswaran telah memperkenalkan pelbagai bantuan, dana dan inisiatif bagi penduduk di sini.

”Hanya 15 tahun kebelakangan ini masyarakat di sini  memilih pembangkang sebagai wakil rakyat mereka. ‘Namun tidak banyak yang dilakukan oleh pembangkang kepada masyarakat di sini.

“Sehinggakan saya sendiri tampil berkhidmat di Sungai Siput bermula 2019 lagi. Saya telah menggariskan 10 inisiatif ketika itu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Vigneswaran berkata, beliau bermula dengan mewujudkan pusat khidmat masyarakat MIC di Sungai Siput menggunakan 10 kakitangan tempatan yang bertanggungjawab dengan semua aduan, permohonan serta isu-isu lain.

Pusat khidmat itu telah berinteraksi dengan 2,101 induvidu yang mempunyai isu berkaitan JPN, Imigresen, Pendidikan, JKM, Perkeso dan lain antara September 2020 hingga Oktober 2022.

S.A. Vigneswaran

”Pusat khidmat juga telah mengambil inisiatif dengan menyediakan bantuan langsung kewangan seperti bantuan perniagaan, perubatan, bayaran pinjaman bank, penyelesaian masalah lelongan awam perumahan serta lain. Ketika PKP pula, kita telah sediakan 30,000 makanan, 2,400 bakul makanan Mitra dan 150,000 bank makanan selama lima bulan.

“Dari segi pendidikan pula, saya telah menyerahkan 200 komputer riba kepada pelajar B40, juga telah memberikan peruntukkan sebanyak RM8.5 juta kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist bagi pembinaan blok tiga tingkat selain menyumbang RM300,000 untuk SJKC Shing Chung Sg Siput. Kita juga bantu dari segi biasiswa dan juga pembayaran yuran setakat ini.

“Biasiswa dan bantuan pinjaman pendidikan juga telah diberikan kepada semua pelajar di sini. Itu telah kita lakukan bukan sejak saya ambil pusat khidmat ini tetapi semasa Tun S Samy Vellu menjadi Ahli Parlimen Sg Siput lagi, sebanyak RM1,618,475,20 untuk pelajar di sini sejak tahun 1990 sehingga 2022 dan lain-lain,” katanya memulakan bicara kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Beliau juga membelanjakan berpuluh juta bagi tujuan sukan sekolah dan infrastruktur antaranya membantu SJKT Heawood sebanyak RM13.5 juta yang terbengkalai.

”Saya juga telah memastikan sedaya upaya membasmi kemiskinan dengan memberi bantuan kebajikan kepada 3,000 induvidu antara 2020 hinggalah sekarang, penstrukturan pembayaran elektrik dan lain-lain lebih  60 buah rumah dan juga bantuan kebajikan Sungai Siput.

“Saya juga tidak pernah lupakan golongan orang asli yang sentiasa mendapat perhatian saya sejak saya mula berkhidmat di sini, selain memberikan bantuan asas, saya juga telah membantu anak-anak mereka ke sekolah,” ujarnya.

Sebanyak 58 lampu jalan telah disediakan untuk orang asli dan Kg Baru Cina, selain pemasangan kamera litar tertutup dan 3,000 topi keledar percuma untuk penunggang motorsikal supaya mereka lebih berhati-hati di atas jalan raya.

Vigneswaran menambah, program-program keusahawanan dan pemantapan ekonomi termasuk membuka peluang pekerjaan melalui anjuran Karnival PenjanaKerjaya.

Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara itu berkata, beliau sudah menganggap warga Sungai Siput seperti keluarganya sendiri tidak kira bangsa, warna kulit atau latar belakang.

Malah, beliau berikrar akan terus membangunkan kawasan ini.

“Anda lihat sendiri rekod saya, semua ini bukan retorik sebaliknya saya laksanakan sebelum saya menjadi calon lagi. Ini bukti apa yang saya buat dan bawa ke Sungai Siput, saya tidak suka cakap banyak tetapi lebih suka bekerja.

“Saya akan lakukan lebih lagi jika menang di kerusi Sungai Siput,” ujarnya yang telah menggariskan 35 inisiatif pula untuk tempoh lima tahun datang buat penduduk di sini.

“Apabila saya berjanji, saya akan tunaikan,” tegasnya. -MalaysiaGazette