Ahmad Awang

KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Pakar (MPP) Parti Amanah Negara melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan sesetengah individu menabur fitnah dan melabelkan hukum yang mengelirukan serta mengundang permusuhan.

Penasihat Umumnya, Datuk Seri Ahmad Awang berkata, tindakan itu agak ketara sejak pembubaran Parlimen 10 Oktober lalu, dalam apa yang dikatakan sebagai perbuatan terdesak parti politik tertentu untuk menjatuhkan lawan.

Katanya, MPP amat cakna dengan firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 191 dan surah al Nisa ayat 9 yang menuntut supaya menjauhi fitnah dan berbicara dengan kata-kata yang benar.

“Amat tidak wajar mereka mengamalkan sikap akhlak tercela seperti memfitnah dengan tuduhan liar tanpa bukti, selain mempertikai keislaman dan keimanan tokoh saingan politik dengan label anti Islam, liberal dan mempromosi homoseksual.

“Mereka juga mengamalkan budaya mengugut penyokong parti politik saingan sebagai ahli neraka dan memfitnah parti politik tertentu sebagai pro komunis tanpa berani mengeluarkan bukti atau membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata beliau, MPP dengan komitmen teguh dan tegas berpegang kepada prinsip bahawa pilihan raya adalah medan demokrasi untuk membolehkan rakyat memilih pemimpin yang terbaik dalam kalangan pilihan yang ada.

Maka, sewajarnya pemilihan itu berasaskan semangat fastabiqul khoirat dan peraduan visi serta idea secara positif.

Katanya, pilihan raya bukan medan untuk saling aib mengaibkan dan fitnah memfitnah, bahkan perlu diingatkan seluruh manusia diikat dengan persaudaraan iman dan persaudaraan insan.

“Memfitnah adalah satu dosa besar dan sebagai komitmen untuk mendidik ahli parti serta rakyat mengenai kebejatan perbuatan fitnah maka parti Amanah menjanjikan beberapa solusi.

“Antaranya, Amanah akan mengambil tindakan disiplin termasuk menggantung keahlian atau memecat ahli yang sabit melakukan fitnah oleh mahkamah.

“Kita menyeru pengundi tidak mengundi sesiapa sahaja calon PRU15 yang pernah disabitkan atas kesalahan memfitnah oleh mana-mana mahkamah,” katanya.

Ahmad juga menyatakan akan merafak sembah mencadangkan kepada Raja-Raja Melayu supaya menolak sesiapa yang sabit kesalahan memfitnah oleh mahkamah daripada menjadi Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan pusat.

Tindakan itu katanya, akan menjadi faktor penghalang yang kuat untuk menunjukkan rasa benci Raja-Raja Melayu terhadap amalan memfitnah. – MalaysiaGazette