KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah M Karupaiya disahkan meninggal dunia hari ini dipercayai akibat serangan jantung.
Mendiang yang bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini merupakan penyandang parlimen tersebut.
Pada PRU14, Karupaiya memperolehi 31,724 undi dan menewaskan calon daripada Pas dan Barisan Nasional dengan dengan majoriti 8,813 undi.
Sementara itu Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail berkata, kali terakhir kepimpinan PH bertemu mendiang adalah pada 14 November (Isnin) di atas pentas ceramah di Kulim.
“Mendiang telah memberi ucapan ringkas dan sempat bersama menjulang tangan di akhir ucapan Pengerusi Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan yang turut disertakan gambar mendiang di atas pentas bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahfuz Omar dan Saifuddin sendiri.
Beliau berkata, mendiang merupakan bekas Pegawai Waran 1, Angkatan Tentera Malaysia dan Ketua Cabang Keadilan Padang Serai.
“Mewakili seluruh keluarga besar KEADILAN dan Pakatan Harapan, saya merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang. Pemergian mendian satu kehilangan besar kepada parti dan perjuangan Reformasi.
“Jasa mendiang di Parlimen, kepada warga serta Cabang Padang Serai, dan juga kepada Angkatan Tentera Malaysia terutama para veteran akan senantiasa dikenang,” katanya.
Menurut Saifuddin, mendiang meninggal dunia dalam perjuangan menegakkan keadilan demi Malaysia yang lebih baik.
“Semangat ini akan diteruskan oleh para pejuang KEADILAN dan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini,” katanya.