Calon Barisan Nasional (BN) P.077 Tanjung Malim, Datuk Dr Mah Hang Soon menyantuni penduduk sambil menyerahkan risalah sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Tanjong Malim, Perak. Foto MUHD NA’IM, 08 NOVEMBER 2022.

TANJONG MALIM — Lima aspek pembaharuan di Tanjung Malim jika Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen itu.

Calon parti, Datuk Dr. Mah Hang Soon berjanji akan menyelesaikan beberapa isu besar, termasuk jalan raya gelap yang merisikokan keselamatan pengguna jalan raya.

“Sini masalah yang paling besar adalah lampu jalan yang tidak menyala. Ramai (penduduk) yang tertanya, kenapa penyandang kerusi Parlimen ini tak berbuat sesuatu untuk membantu” katanya sambil memberitahu banyak nyawa yang telah terkorban akibat jalan gelap.

Menerusi projek “Light Up Tanjung Malim”, anak kelahiran Perak itu berjanji akan menambah baik lampu jalan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Katanya, selain meningkatkan taraf kemudahan dan fasiliti awam, empat aspek yang lain adalah pembangunan ekonomi; pendidikan; kebudayaan; dan kesihatan.

Dr Mah Hang Soon menyantuni penduduk sambil menyerahkan risalah sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Tanjong Malim, Perak. Foto MUHD NA’IM, 08 NOVEMBER 2022.

“Selain daripada itu, ada banyak pembangunan yang boleh kita buat menerusi kerjasama bersepadu dengan syarikat Proton untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai Bandar Automotif Bersepadu atau Hi-Tech Valley.

“Kita juga boleh menggunakan kelebihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menjadikan kawasan ini sebagai Bandar Pendidikan Berkualiti.

“Kita juga akan mengenal pasti tarikan pelancong cara terbaik untuk bangunkan eko-pelancongan di kawasan ini termasuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan belia dan penduduk tempatan supaya mereka tidak lagi perlu berhijrah.” katanya ketika ditemui selepas menyantuni penduduk di sekitar Pekan Tanjung Malim, di sini, hari ini.

Mah Hang yang juga doktor pakar jantung berkata, beliau akan memastikan warga emas menerima perkhidmatan kesihatan terbaik melalui pelan kemudahan fasiliti kesihatan yang dinaiktaraf.

Mah Hang Soon menyantuni penduduk sambil menyerahkan risalah sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Tanjong Malim, Perak. Foto MUHD NA’IM, 08 NOVEMBER 2022.

Sementara itu apabila ditanya mengenai penerimaan pengundi di kawasan Parlimen itu, katanya, beliau disambut baik.

“Majoriti menghargai apa yang telah saya buat dan bantuan yang telah saya salurkan di Tanjung Malim” katanya.

“Saya yakin dengan kuasa yang ada pada BN, rakyat akan beri sokongan penuh untuk BN menubuhkan kerajaan yang stabil”

“Walaupun kalah pada PRU lalu, saya tak pernah berhenti, saya tetap teruskan kerja saya.” Katanya.

Pada PRU-14 Mah Hang yang bertanding di kerusi sama dikalahkan oleh Chang Lih Kang yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 5,358 undi. -MalaysiaGazette