PEKAN – Tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang bagi memastikan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilawati untuk berkempen tidak memenatkan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sudah berkempen ke 41 daripada 42 lokasi DUN di Pahang – beliau yang mesra disapa sebagai Tok Wan kelihatan masih bersemangat untuk menemui pengundi seramai mungkin sebelum Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15).
Menteri Besar Pahang itu mengakui semakin bersemangat menjelangnya 19 November ini bagi menyakinkan rakyat terus memberi mandat kepada kepimpinan BN di negeri ini.
“Berbaki tiga hari, semangat makin membara untuk memastikan kemenangan BN di bumi Pahang ini dan saya percaya momentum semangat semakin tinggi akan diteruskan sehingga ke hari pengundian,” katanya.
Penyandang DUN Jelai itu berkata demikian ketika ditemui bersama masyarakat Orang Asli dan 300 pesawah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar di Kampung Permatang Pauh di sini hari ini.
Menurut beliau, para penyokong jangan terlalu selesa selagi keputusan PRU15 diumumkan serta menasihatkan semua jentera parti untuk terus bekerja keras pada pecutan terakhir ini.
“Selagi keputusan belum diumumkan, kita mesti berjuang dan berkempen mencari pengundi untuk mengundi BN,” katanya.
Beliau mahu penduduk Pekan agar memberi sokongan kepada calon Ahli Parlimen Pekan, Datuk Sheikh Mohamed Puzi Sheikh Ali dan penyandang DUN Bebar, Datuk Fakharuddin Arif. – MalaysiaGazette