Ong Kim Swee.

KOTA KINABALU – Ketinggalan satu gol bukan misi mustahil untuk Sabah FC bangkit pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Ahad ini.

Ketua Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee berkata, walaupun bukan jumlah besar, namun para pemain perlu kekal fokus dan mengikut pelan permainan dirancang bagi memberi saingan di kubu kuat JDT.

“Apa yang penting kembali fokus dalam perlawanan, kita ketinggalan bukan jarak jauh untuk kembali bangkit maka dalam 90 minit (masa sebenar) atau 120 minit (tambahan masa) di Johor apa sahaja boleh berlaku.

“Seperti malam ini, pemain tunjukkan semangat juang cukup tinggi walaupun bermain tanpa tujuh tonggak, pemain muda seperti Hanafie (Tokyo) dan Gerald (Gadit) tunjuk sikap positif tidak takut dalam perlawanan besar, kita teruskan dalam perlawanan selepas ini,” katanya di sini. malam tadi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Likas di sini menyaksikan jaringan tunggal Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-34 menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

Kim Swee berkata, beliau perlu mendapatkan laporan dan menilai kecergasan beberapa pemain antaranya Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang mengalami kecederaan malam tadi, sebelum membuat keputusan tentang kesebelasan utama pada perlawanan kedua nanti.

“Kita tunggu laporan daripada doktor esok, bagi saya sesiapa yang cedera atau tidak boleh bermain kita fikirkan penyelesaian (untuk pasukan) bukan terlalu memikirkan kita ada pemain yang cedera,” katanya.

Mengenai tindakan beliau masuk padang pada separuh masa pertama perlawanan, Kim Swee mengakui tindakan itu adalah satu kesilapan daripada pihaknya dan tindakan pengadil Razlan Joffri Ali melayangkan kad kuning kepadanya adalah wajar.

Sementara itu, pengendali JDT Hector Bidoglio berkata, Harimau Selatan cuba bermain secara pantas namun mengakui pertahanan Sabah sukar ditembusi.

“Satu perlawanan yang sukar, Sabah adalah pasukan kuat. JDT akan memperbaiki permainan berikutnya dan kami perlukan prestasi yang lebih baik pada perlawanan kedua kelak,” katanya. – Bernama