RASAH – Pemulihan semula projek infrastruktur dan ekonomi Rasah menjadi tumpuan utama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rasah jika beliau diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ng Kian Nam tekad ingin menghidupkan semula projek Malaysian Vision Valley (MVV) yang dilancarkan kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk mengubah taraf hidup penduduk Rasah.

Menerusi projek ini, Negeri Sembilan telah pun dikenal pasti sebagai kawasan pembangunan baharu selain dibayangkan menjadi metropolis bertaraf dunia yang berdaya saing, inklusif dan bersih.

“Sebahagian besar kawasan di Seremban-Rasah-Port Dickson telah dikenal pasti sebagai satu tempat untuk pembangunan masa depan selepas Kuala Lumpur (KL).

“MVV termasuk mewujudkan  Keretapi Berkelajuan Tinggi (High Speed Railway-HSR) antara Kuala Lumpur ke Singapura. Dulu project ini sudah dimuktamadkan dan akan dijalankan sebelum PRU14.

“Salah satu stesen yang telah dikenal pasti untuk HSR KL-Singapura ini ialah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu di bawah Parlimen Rasah,” katanya.

Menurut Kian Nam, projek tersebut memberi banyak manfaat kepada penduduk tempatan khasnya daripada segi infrastruktur, efisiensi, peluang kerja dan pelaburan.

Tambah beliau, projek HSR juga aka memacu semua bidang ekonomi lain selain berpotensi meningkatkan produktiviti.

Selari dengan kemajuan yang ingin dibawa Kian Nam di Rasah, beliau juga berjanji akan menaik taraf liputan capaian Wi-Fi dan internet di Rasah yang sangat terhad sebelum ini.

“Walaupun ia di bawah ibu negeri, tetapi masih ada banyak tempat termasuk pusat bandar di Seremban tiada rangkaian Unifi dan Wi-Fi.

“Dalam rancangan MVV ini, saya akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk menaiktaraf semua perkhidmatan internet dan rangkaian di kawasan ini khasnya. Infrastruktur ini memang tidak boleh ditunda lagi dan perlu dipercepatkan,” katanya.

Selain kemajuan, isu banjir juga sentiasa menjadi tumpuan Kian Nam yang selama ini sudah bersama-sama membantu penduduk tempatan yang menjadi mangsa banjir di Rasah.

“Salah satunya ialah pada Ogos lalu, saya secara pro bono mewakili 100 mangsa banjir di kawasan Rasah, untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Negeri Sembilan di mahkamah tinggi Seremban.

“Kerana penduduk di sini, mereka mahu kerajaan negeri menjadi lebih telus dan lebih bertanggungjawab. Bukan sekadar mengatakan banjir adalah sekadar act of god,” katanya.

Jelas beliau, berikutan banjir kilat yang seringkali berulang menyebabkan penduduk di sini merasa tidak selamat sehingga terpaksa memutuskan untuk berpindah.

Beliau yang merupakan seorang pengamal undang-undang juga tidak akan berhenti memberi perkhidmatan guaman percuma yang telah dilakukan sebelum ini, walaupun ketika tidak menjadi wakil rakyat.

Jika mana-mana kes yang melibatkan kepentingan awam, Kian Nam akan memberikan bantuan guaman secara probono dan usaha itu akan diteruskan.

Katanya jika dipilih menjadi wakil rakyat, belia akan menjaga kepentingan para pekerja gig membabitkan penghantar makanan dan penghantar p-hailing.

Katanya, sehingga hari ini status undang-undang mereka masih tidak jelas yang mana golongan itu tidak dilindungi di bawah akta pekerjaan dan juga tidak diiktiraf dalam akta kontrak yang menyebabkan mereka boleh dipecatkan secara tidak adil tanpa sebarang notis, tanpa hak didengar oleh e-hailing operator (EHO).

Selain itu, beliau bercadang meminda Akta Perkhidmatan Kewangan yang melibatkan kepentingan para pemegang polisi insurans di Malaysia.

“Kali terakhir undang-undang ini dipinda adalah pada 2012. Jadi undang-undang ini sudah tidak sesuai di mana terlalu menjaga kepentingan syarikat insurans.

“Sehingga banyak kes dimana pemegang polisi insurans ditindas, mereka telah ditolak tuntutan insurans mereka dengan berbagai alasan teknikal,” ujarnya. – MalaysiaGazette