Menara Berkembar Petronas (KLCC) merupakan mercu tanda bandar Kuala Lumpur di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) berkata 50 peratus daripada syarikat Jerman di Malaysia merancang untuk meningkatkan perbelanjaan berkaitan pelaburan tempatan pada tahun depan bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Dalam kenyataan hari ini, MGCC berkata, syarikat terbabit akan terus meningkatkan kehadiran di negara ini selain memperkukuh hubungan dagangan biarpun ekonomi global dijangka lebih suram pada tahun depan.

Pendirian itu dipaparkan menerusi dapatan tinjauan terkini oleh AHK World Business Outlook Fall 2022.

Syarikat-syarikat tersebut juga merancang untuk menggaji lebih ramai pekerja tempatan dan meningkatkan perbelanjaan memajukan perniagaan pada tahun depan manakala 66.7 peratus daripada responden yakin keadaan ekonomi Malaysia tidak akan terjejas.

Pengarah Eksekutif Daniel Bernbeck berkata hasil tinjauan itu terus memaparkan bahawa Malaysia dilihat sebagai memberi manfaat besar untuk syarikat-syarikat Jerman, termasuk persekitarannya yang mesra pelabur, pekerja yang mahir selain rangkaian pembekal serba meluas dan kukuh.

“Ini merupakan satu potensi yang meyakinkan apabila adanya petunjuk bagi mewujudkan pekerjaan dan kesediaan meningkatkan perbelanjaan untuk memperkukuh kehadiran masing-masing di negara ini.

”Pada masa sama, ini juga menggambarkan pemulihan Malaysia yang kukuh dan berdaya tahan selepas berdepan gangguan selama dua tahun akibat COVID-19,” katanya.

Bernbeck berkata sebagai wakil industri dan perdagangan Jerman di Malaysia, MGCC menyambut baik hasrat syarikat-syarikat terbabit untuk membuat perancangan pelaburan jangka panjang di sini.

“Keyakinan sedemikian daripada pelabur asing akan menyuntik pertumbuhan ekonomi yang dapat melonjakkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menjalankan perniagaan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, tiga kebimbangan utama syarikat-syarikat Jerman pada tahun depan adalah kekurangan pekerja (58.3 peratus), kenaikan harga komoditi (54.2 peratus) serta gangguan rantaian bekalan yang berterusan (50 peratus).

Malah, gangguan bekalan rantaian itu akan terus menjadi halangan syarikat dan bagi menanganinya, 65.2 peratus telah melaksanakan pelan mencari atau menambah pembekal sedia ada.

Selain itu, 81 peratus responden berkata Asia Pasifik, tidak termasuk China, adalah rantau pilihan bagi mendapatkan pembekal baharu manakala 61.9 peratus memilih untuk mengenal pasti pembekal terbabit di Malaysia. – BERNAMA