Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Datuk Zahida Zarik Khan menyeru warga pendidik di Padang Besar, Perlis membuat keputusan bijak demi masa depan negara yang lebih stabil dan makmur pada 19 November ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Besar itu berkata, guru banyak berjasa kepada anak bangsa dan percaya mereka juga mahu melihat anak didiknya hidup dalam negara yang makmur dan stabil.

“Cikgu, 19 haribulan ini adalah penentu masa hadapan yang akan ditempuhi oleh anak dan adik kita. PRU15 ini merupakan penentuan bagi tempoh lima tahun mendatang.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti dan jasa cikgu melahirkan modal insan cemerlang untuk negara dan membantu masyarakat kita keluar daripada kitaran kemiskinan melalui pendidikan.

“Saya juga ucapkan selamat mengundi kepada cikgu semua,” katanya menerusi rakaman video khusus untuk warga pendidik di Padang Besar, hari ini.

Beliau tidak dapat turun berkempen secara fizikal kerana masih dalam edah kematian suami pada 20 Ogos lalu dan menggunakan platform media sosial bagi membantu jenteranya di lapangan.

Menurut Ketua Puteri UMNO Malaysia itu, selaku calon BN bagi kerusi Parlimen Padang Besar, beliau mengajak warga pendidik untuk bersamanya menyokong usaha memulihkan kembali negara dari kekacauan politik, ketidakstabilan dan ketiadaan hala tuju yang jelas buat negara.

Katanya, BN akan terus berusaha meningkatkan mutu dan tahap pendidikan negara.

“Malah, kita boleh lihat dalam Perancangan Amal Dan Usaha (PADU) iaitu tawaran BN yang salah satu teras diberikan perhatian adalah pendidikan.

“Semua inisiatif dicadangkan adalah supaya negara kita akan terus membangun dengan hasil modal insan berkualiti.

“Sama-sama kita kembalikan negara kita pada landasan yang betul, hala tuju yang jelas dan kestabilan yang membawa kemakmuran,” katanya.

Beliau meminta guru dan masyarakat Padang Besar khususnya memberikan mandat kepada calon BN untuk berkhidmat kepada mereka.

Zahid akan berdepan lima penjuru pada PRU15 Sabtu ini iaitu penyandang kerusi Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding atas tiket bebas; Datuk Rushdan Rusmi (PN-Pas), Mohamad saad@Yahya (PH-Amanah) dan Ko Chu Liang (Warisan). – MalaysiaGazette