Antara mangsa banjir yang ditemui oleh Asyraf Wajdi Dusuki

GERIK – Jentera bantuan banjir Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada Pergerakan Pemuda dan Puteri sedia digerakkan pada bila-bila masa ke seluruh negara untuk membantu mangsa yang terjejas.

Ketua Pergerakan Pemuda BN Datuk Dr. Asyraf wajdi Dusuki berkata, parti itu telah lama membuat pelbagai persiapan bagi membantu mangsa banjir.

“Memang semua bersiap siaga. Bahkan di beberapa lokasi seperti di Baling jentera Pemuda dan Puteri yang ke hadapan untuk membantu.

“Memastikan perkara asas, bantuan makanan dan paling penting kembali ke kediaman masing-masing dalam keadaan yang selesa,” kata Asyraf Wajdi.

Beliau ditemui ketika melawat dan membantu mangsa banjir kilat di kawasan perumahan Taman Akasia, Pengkalan Hulu di sini hari ini.

Taman perumahan tersebut serta beberapa kawasan di Kuak Luar, Kuak Tengah dan Kelian Intan di sini dilanda banjir kilat semalam.

Penduduk yang berpindah sementara di Masjid Kuak Luar pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Salah seorang mangsa banjir di Taman Akasia yang sempat berbicara dengan Asyraf Wajdi

Jentera Pemuda dan Puteri BN turut hadir bagi membantu mangsa membersihkan rumah selepas dimasuki air berlumpur daripada kawasan bukit berhampiran.

Calon BN bagi Parlimen Gerik itu berkata, dianggarkan 40 keluarga terlibat dalam bencana itu da ketika ini 25 keluarga masih berada di Masjid Kuak Luar.

“Kita BN memang sudah bersiap sedia dari semalam membantu memindahkan mangsa banjir. Air bukan termenung. Kira-kira dua tiga jam dan lepas pukul 12.00 tengah malam surut.

“Semalam kita telah memastikan jentera BN Gerik khususnya pemuda dan puteri bersiap sedia hari ini untuk membantu membuat kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan yang terjejas.

“Bantuan makanan pun sudah pun disediakan daripada semalam lagi. Hari ini pun sama. Yang penting kita ingin memastikan tidak ada mangsa terkecuali dapat bantuan khususnya membantu kerja-kerja pembersihan,” kata Asyraf Wajdi.

Menurut beliau bencana banjir jarang berlaku di Gerik kerana kepimpinan BN yang menjadi wakil rakyat di kawasan itu sebelum ini telahpun melakukan kerja-kerja bagi mengelakkan bencana itu berlaku.-MalaysiaGazette